Friday, January 02, 2009
ahmadkhawari@bharian.com.my
Ismail Sabri (kiri) dan Kok Chi. |
Menteri kata MOM sudah setuju isu hantar atlit pelapis ke Sukan Sea
SUNGGUHPUN tidak kerap dilakukannya, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam memilih untuk 'menempelak' Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.
Ismail tidak berselindung dengan rasa hairannya terhadap sikap Kok Chi yang menentang cadangan supaya atlit pelapis dihantar untuk menyertai temasya Sukan Sea XXV di Laos, Disember nanti.
"Beliau ada menyertai mesyuarat. Malah, cadangan itu ada dibincangkan ketika Konvensyen Sukan Kebangsaan.
"Malah, ketika cadangan itu diputuskan oleh Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN), (Naib Presiden MOM), Low Beng Choo turut hadir. Kita berbincang dan bersetuju untuk mencadangkannya.
"Kerana itu, saya hairan mengapa dia (Kok Chi) menentang. Mungkin dia tidak faham," katanya selepas mengunjungi jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek, yang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di ibu negara, semalam.
| ISMAIL Sabri (kanan) ditemani Zolkples (tengah) dan Chong Wei melawat Misbun di hospital swasta, semalam. |
Turut hadir Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong.
Menurut Ismail, MOM sepatutnya berjuang memastikan sukan dipertandingkan dalam temasya utama seperti Olimpik dan Sukan Asia tetap disenaraikan pada Sukan Sea, bukannya bersetuju dengan sukan tradisional yang menguntungkan tuan rumah.
"MOM sepatutnya jalankan peranan ketika menentukan jenis sukan yang dipilih. Fokus kita ialah kepada Sukan Olimpik, Komanwel dan Sukan Asia.
"Lagipun, antara rungutan persatuan sukan kebangsaan sebelum ini ialah kurangnya pendedahan untuk atlit mereka. Tidak banyak kejohanan luar untuk disertai. Jadi, Sukan Sea boleh digunakan untuk tujuan itu," katanya.
Ismail bagaimanapun menegaskan betapa perbincangan akan tetap diadakan dengan persatuan sukan kebangsaan sebelum kata putus mengenainya diambil.
Sementara itu, Ismail berharap Misbun segera sembuh buat membantu anak didiknya, Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo, menghadapi Siri Super Dunia, bermula dengan Terbuka Malaysia, minggu depan.
"Saya berdoa dia cepat sembuh. Tetapi jika tidak, saya percaya jurulatih lain seperti Rashid Sidek mampu meneruskan segala usaha Misbun," katanya.
Bharian
No comments:
Post a Comment