
EMPAT daripada lapan pemain terbaik yang menyertai sirkit kebangsaan akan dipilih membawa cabaran Malaysia pada Sukan SEA ke-25 di Laos Disember depan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF), Melvin Chia berkata, pihaknya hanya akan membuat pemilihan pemain yang layak beraksi pada temasya dwitahunan itu pada September depan.
"Keputusan untuk mewakili negara berpandukan kepada prestasi pemain pada sirkit kebangsaan.
"Ini kerana, ada kriteria yang perlu diikuti dalam memilih atlet beraksi pada temasya Sukan SEA dan MSBF tidak boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya," kata Melvin kepada Kosmo! semalam.
Ditanya mengenai kekurangan pemain kebangsaan yang ada ketika ini, Melvin berkata, MSBF tidak menganggap ia satu masalah besar.
"MSBF telah mempertimbangkan saranan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri untuk menghantar atlet pelapis pada temasya Sukan SEA di Laos nanti."
Ketika ini, hanya Lai Chee Wei dan Chooi Yee Wah sahaja yang berstatus pemain senior kebangsaan.
"Walaupun mereka berdua yang bernaung di bawah bimbingan MSBF, saya tidak rasakan ini satu masalah. Sebabnya, kita sudah rancang program khas bagi memilih pemain untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan," katanya.
MSBF dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah bekerjasama dengan mengadakan program Jelajah Snuker 2009 bagi memberi laluan kepada pemain kebangsaan memperbaiki prestasi mereka dari masa ke semasa.
Program yang melibatkan 64 pemain dalam negara ini telah bermula sejak tiga minggu lalu.
"Pada dasarnya, program ini dianjurkan untuk menguji tahap konsistensi pemain kebangsaan selain berpeluang beraksi di Laos," ujar Melvin.
Pada saringan pertama yang diadakan di Pusat Snuker Pandan Indah, Cheras, pemain veteran, Ng Ann Seng muncul juara.
Melvin menambah, peringkat kedua akan diadakan di Hotel Grand Season pada 10 Februari ini.
"Saringan akan diadakan sehingga Mac ini dan 16 pemain terbaik akan beraksi pada peringkat Grand Final bagi menentukan siapa yang terbaik," jelas Melvin.
KOSMO
No comments:
Post a Comment