Wednesday, June 3, 2015

Umpama ‘menang’

Bagaikan final. Kesimpulan itu cukup untuk menggambarkan suasana di OCBC Arena ketika perlawanan bola jaring antara Singapura dengan Malaysia petang semalam.

Keputusannya seri 35-35 tetapi bagi An Najwa Azizan, 18, ia bagaikan kemenangan bermakna buat Malaysia.

Masakan tidak, dengan sorakan padu kira-kira 4,000 penyokong, juruacara pertandingan turut menyebelahi tuan rumah dengan mengajar beberapa bentuk sorakan bagi menaikkan semangat skuad nombor satu Asia itu.

“Kami sudah jangka situasi sukar ini akan berlaku. Ini tempat mereka dan kami seolah-olah menentang beribu-ribu lawan.

“Kami sudah bersedia untuk situasi sebegini dan sebelum bermain, kami hanya memikirkan soal maruah negara. Itulah yang menguatkan semangat kami hingga berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada suku keempat permainan,” kata bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil yang memiliki ketinggian 179sm itu.

Sementara itu, jurulatih Aminah Asaari berkata, kejayaan mengikat Singapura yang dilabel ‘mesin pembunuh’ media tempatan negara itu membuktikan anak buahnya sudah bersedia untuk mempertahankan emas dimenangi di temasya Kuala Lumpur 2001.

“Saya berpesan kepada pemain supaya memberikan tumpuan penuh kepada perlawanan kerana jika tidak, kami pasti tewas. Saya cakap kepada mereka, kalau tak menang tidak apa tapi kita perlu seri.
“Itulah keputusan yang kita capai tapi saya anggap ini sebagai satu kemenangan buat Malaysia. Singapura pasukan nombor satu Asia dan bukan mudah untuk mengatasi mereka.

“Tambahan pula, kita bermain di tempat mereka dan pelbagai cara digunakan untuk mengganggu tumpuan pemain kita,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia menduduki tangga teratas kumpulan dan masih berbaki dua perlawanan sebelum ke separuh akhir.

Hari ini, Malaysia akan menentang Brunei sebelum menutup saingan dengan bertemu Thailand.


Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment