Saturday, June 6, 2015

Titik permulaan


PASUKAN renang berirama Malaysia memperagakan pingat perak yang dimenangi.

Satu emas dan dua perak dari acara renang berirama boleh ditafsirkan sebagai pencapaian memuaskan selepas acara berkenaan melabuhkan tirainya di Pusat Akuatik OCBC kelmarin.

Penolong jurulatih Shareen Png berkata, pencapaian itu jelas mencapai sasaran pihak pengurusan dan kini apa yang perlu adalah tambahan program latihan.

“Penambahan program latihan ini bagi membolehkan atlet menimba lebih pengalaman sebelum tibanya Sukan SEA di Malaysia pada 2017,” katanya.

Jelasnya, anak buahnya bertanding seperti mana mereka lakukan ketika latihan dan beliau sangat berpuas hati dengan prestasi dipamerkan.


“Ini titik permulaan buat kami kerana pasukan ini mula ditubuhkan tahun lalu, khas untuk Sukan SEA 2017.

“Jadi kami mengharapkan tahun depan, pasukan ini akan dapat menyertai lebih banyak kejohanan supaya mereka memperoleh lebih keyakinan dan pengalaman berguna baik di dalam atau di luar negara,” katanya.

Pencapaian atlet renang berirama negara itu meletakkan Malaysia di kedudukan kedua di belakang tuan rumah yang meraih dua emas dan satu perak manakala Indonesia ketiga dengan tiga gangsa.

Pasukan renang berirama pada mulanya meraih perak acara berpasukan bangkit menghadiahkan emas dalam acara duet menerusi Katrina Ann Abdul Hadi dan Zylane Lee, kelmarin.

Harapan untuk melihat emas kedua hadir dalam acara acara kombinasi bebas pada sebelah petangnya musnah apabila tuan rumah Singapura muncul pemenang manakala Malaysia sekadar memungut perak.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment