Saturday, June 6, 2015

Arif ikrar aksi terbaik


Arif

Terkandas di pusingan kedua Sukan SEA 2011 Indonesia akan dijadikan sebagai pengajaran paling berguna buat pemain perseorangan negara Mohd Arif Latif yang berjanji tidak akan mengulanginya di Singapura.

Arif yang ketika itu beraksi buat kali pertama di temasya Sukan SEA terkandas di pusingan kedua apabila tumpas kepada pemain tuan rumah, Simon Santoso tetapi kali ini dia bertekad tidak akan mengulangi kesilapan berkenaan.

“Singapura penampilan kedua saya di Sukan SEA. Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk acara individu perseorangan lelaki,” kata bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu.

Jelasnya, di Indonesia dia hanya membantu pasukan meraih perak untuk acara berpasukan lelaki tetapi kali ini berharap turut cemerlang dalam acara individu dengan membawa pulang sebutir pingat tidak apa warna sekali pun.


“Saya mahu pencapaian di Singapura lebih baik berbanding di Indonesia. Kali ini kami bakal diperkuatkan dengan Datuk Lee Chong Wei walaupun dia hanya beraksi acara berpasukan.

“Mungkin Chong Wei boleh memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya serta pemain lain. Setidak-tidaknya kehadirannya memberikan keyakinan kami,” katanya.

Arif juga mengakui bukan perseorangan lelaki saja harus diberi perhatian khusus serta fokus sebaliknya semua kategori harus melaku
kan perkara sama terutama ketika berdepan pemain Indonesia dan Thailand.

“Kalau kita lihat temasya kali ini Thailand menghantar skuad utama mereka dan Indonesia pula lawan yang perlu dihormati walaupun tidak membariskan pemain senior mereka.

“Saya juga tidak berasa tertekan kali ini kerana bukan lagi pemain di bawah bimbingan BAM tapi saya tetap mewakili Malaysia. Bagi saya semuanya sama baik pemain bebas mahupun BAM,” kata pemain kelahiran Negeri Sembilan itu.

Acara badminton yang diadakan Stadium Tertutup Singapura akan bermula 10 hingga 16 Jun ini dengan menawarkan tujuh pingat emas.

Sumber:Harian Metro

No comments:

Post a Comment