Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) menganggap struktur pembangunan bola sepak pemain muda yang diamalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi punca kegagalan skuad Bawah 23 (B-23) negara di Sukan SEA kali ini.
Tegasnya, FAM perlu memikirkan jalan terbaik mengenai program Harimau Muda sama ada perlu dikekal atau dibubarkan.
“Kali ini persiapan pasukan agak singkat, pemain yang terpilih juga ada di antaranya tidak beraksi dalam skuad utama pasukan negeri dan kelab masing-masing.
“Sekarang FAM kena fikir betul-betul sekiranya pasukan ini dibubarkan, pemain perlu ada peluang beraksi. Kalau tidak masalah sama berulang.
Kalau pasukan negeri atau kelab tidak beri keyakinan kepada pemain muda maka kita terpaksa lupakan program Harimau Muda yang saya anggap tak berapa efektif,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura semalam.
Skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee sudah boleh berkira-kira untuk pulang awal selepas mengalami kekalahan kedua Kumpulan B 0-1 kepada Thailand kelmarin meskipun masih berbaki dua perlawanan menentang Brunei dan Laos.
Berikutan hanya mengumpul tiga mata hasil kemenangan ke atas Timor Leste 1-0, agak sukar untuk mereka menggugat dua tempat teratas Vietnam dan Thailand, sekali gus menyaksikan Malaysia bakal gagal layak ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2007.
Kim Swee dalam sidang media kelmarin menyatakan persiapan tiga minggu tidak cukup untuk membentuk pasukan mantap berbanding ketika menjuarai Sukan SEA Indonesia 2011.
Khairy berkata, kegagalan itu bukan disebabkan corak permainan sebaliknya sistem dan struktur pembangunan.
“Dulu kita pernah syaratkan pasukan utama Liga Malaysia mesti ada dua atau tiga pemain bawah 23 tahun. Kita boleh letakkan syarat itu kerana kalau tidak pasukan akan meletakkan pemain senior dan import.
“Maaf saya cakap, tak ada pasukan negeri dan kelab yang pentingkan pembangunan, cuma baru-baru ini ada beberapa negeri yang mula nak buat pembangunan. Ini bukan isu corak permainan, kerana corak permainan menggambarkan masalah struktur,” jelas beliau.
Katanya jika struktur itu tidak diperbetulkan, beliau bimbang segala program pembangunan yang dilaksanakan termasuk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) gagal mencapai misi disasarkan.
“Pemain bawah 13 tahun NFDP baru saja mengalahkan Bayern Munich (B-13), kalau inilah transisi pemain ke FAM, saya pun tak berapa senang hati untuk serahkan pemain kita apabila berusia 17 tahun nanti kerana kita tahu sistem mereka (FAM) tidak berkesan,” kata Khairy.
Mengulas mengenai prestasi semasa atlet negara, beliau gembira dengan kejayaan pasangan Katrina Ann Abd Hadi/Zylane Lee meraih emas acara renang berirama duet kelmarin.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment