Saturday, June 6, 2015

Kim Swee terbaik!!!

Pemain tengah skuad Bawah 23 (B-23) negara Gary Steven Robbat tetap menganggap Datuk Ong Kim Swee individu terbaik untuk membimbing pemain muda meskipun meraih keputusan mengecewakan di Sukan SEA kali ini.

Kalah kepada Thailand 0-1 kelmarin, skuad negara terpaksa mengharapkan keajaiban yang tidak mungkin berlaku untuk layak ke separuh akhir selepas turut kecundang kepada satu lagi calon pilihan Vietnam 1-5 dalam aksi Kumpulan B.

Dua baki perlawanan menentang Brunei pada 8 Jun dan Laos (11 Jun) boleh dianggap sebagai pelengkap jadual.

Pencapaian di Singapura ini yang terburuk buat Kim Swee sejak memberikan pingat emas di Indonesia 2011 dan tempat keempat di Myanmar dua tahun lalu.


Gary yang mendapat tunjuk ajar Kim Swee selama enam tahun ketika bersama skuad Harimau Muda A, masih percaya dengan kemampuan pengendali itu yang membayangkan Sukan SEA Singapura penampilan terakhirnya bersama skuad B-23.

“Bagi saya beliau (Kim Swee) masih jurulatih terbaik untuk membimbing pemain muda kerana mempunyai kualiti seorang jurulatih.

“Beliau tahu taktikal dan menilai kekuatan pasukan rantau Asia Tenggara ini,” katanya yang dilantik sebagai kapten pada perlawanan kelmarin.

Pada sidang media selepas perlawanan dengan Thailand kelmarin, Kim Swee menyatakan sudah cukup untuknya membimbing pasukan bagi tiga temasya sukan dwi tahun ini dan bersedia memberi laluan kepada jurulatih lain.

Selain emas di Jakarta 2011, skuad muda negara juga meraih kejuaraan Pestabola Merdeka pada 2013.

Namun persiapan Kim Swee ke Sukan SEA kali ini terganggu apabila secara tiba-tiba skuad muda itu dipecahkan kepada dua pasukan dengan tugas menghadapi kelayakan AFC B-23 Mac lalu diserahkan kepada Razip Ismail.

Keputusan itu terus mengaitkan dengan khabar angin perpindahan bekas pemain kebangsaan itu ke beberapa pasukan termasuk Sabah dan Selangor.

Sementara itu, kegagalan ke separuh akhir bakal menjadi penamat mengecewakan buat Gary, pemain Johor Darul Ta’zim yang tampil buat kali pertama dan terakhir di Sukan SEA.

“Dua Sukan SEA sebelum ini saya tidak pergi kerana kecederaan saat akhir. Memang rasa sedih, saya sudah beri yang terbaik dan harap pemain tak lemah semangat untuk baki perlawanan seterusnya,” katanya.

Malaysia kini perlu merekod kemenangan besar dalam baki perlawanan sambil mengharapkan Thailand tewas kepada Vietnam dan pasukan kerdil Brunei.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment