Apabila Muhammad Nazmi Faiz Mansor meludah ke arah pemain Timor Leste, sebenarnya itulah ludahan ke muka bola sepak Malaysia.
Perbuatan naif itu memberikan gambaran sebenarnya terhadap kelemahan bola sepak negara. Kita begitu naif ketika menghadapi Vietnam apabila memilih untuk menampilkan corak permainan menyerang.
Bayangkan senario ini, pasukan Malaysia ‘diayamkan’ Vietnam sehingga minit ke-78 dengan kedudukan 4-0 menyebelahi mereka.
Kemudian Malaysia berjaya menjaringkan satu gol. Dengan kedudukan 4-1 tiba-tiba Malaysia bersemangat dan mula menyerang gol Vietnam. Selama 12 minit seterusnya, pemain Malaysia membazirkan tenaga mengejar keputusan.
Ramai yang meminati bola sepak akan puji semangat pemain tapi yang peka dengan bola sepak akan menggeleng kepala atas kelakuan naif ini.
Ini adalah ‘tournament football’ dan jadual padat memerlukan kebijaksanaan. Pertandingan seperti ini memerlukan strategi. Bukannya kebudak-budakkan.
Mengapa tidak kita menjimat saja tenaga untuk perlawanan menentang Thailand. Adakah kenaifan kita ini sama dengan kebodohan? Atau adakah ini sikap turun temurun pihak pentadbiran serta kejurulatihan?
Itu bukannya menunjukkan keyakinan diri tetapi kenaifan yang tak terhingga. Begitu naif kita apabila menganggap bola sepak kita bertaraf tinggi.
Kemeriahan bola sepak Liga Malaysia sesuatu yang mengaburkan mata terhadap realiti yang ada. Realiti sebenarnya adalah negara jiran sudah jauh meninggalkan kita.
Sementara itu, kekalahan itu menyebabkan keupayaan pemain Bawah 23 dipertikaikan. Tapi kita sebenarnya mempunyai beberapa pemain berkualiti yang dengan sedikit lagi pendedahan boleh beraksi selesa di peringkat antarabangsa.
Pemain yang paling menarik perhatian ialah perancang Mohd Amirul Hisyam Awang Kechik. Pemain ini mempunyai tahap kecergasan tinggi dan sebagai pemain tengah bertahan, dia boleh diganding dengan Safiq Rahim.
Seperti mana Safiq memberi arah serta tenaga ke corak permainan menyerang, Amirul bakal memberikan perkara sama kepada gaya bertahan pula.
Sudah boleh dibayangkan, gandingan Amirul dan Akram Mahinan membina satu ‘high energy shield’ di bahagian tengah dengan Safiq sebagai pengemudi kapal.
Pemain dari Perak, Nurridzuan Abu Hassan pula menunjukkan kebolehan beraksi dengan sempurna di bahagian tengah kiri. Dia boleh berfungsi sebagai pemain sayap dan mempamerkan kefahaman taktikal memberangsangkan.
Nazirul Naim pula seorang pemain bek yang berkebolehan tetapi harus meningkatkan keyakinan diri. Dengan kebolehan kaki kiri semula jadi, pemain ini bakal menjadi pertahanan yang konsisten melakukan tugas bertahan serta menyerang.
Dalam persaingan Kumpulan B, kita dapat lihat bagaimana Chanatip Songkrasin dari Thailand beraksi sebagai perancang yang lebih meluangkan masa dari bahagian kanan padang. Lariannya dikhususkan menarik pemain lawan ke arahnya bagi meninggalkan ruang untuk rakan lain.
Perancang Vietnam Nguyen Cong Phuong merupakan pemain yang begitu tenang dan selesa melakukan hantaran satu dua setiap kali menguasai bola. Satu contoh terbaik bagaimana untuk mengatasi pihak lawan. Perhatikan pergerakan pemain ini yang melakukan ‘larian kedua’ selepas membuat hantaran.
Tetapi pemain yang terbaik dalam Kumpulan B kini ialah kapten Thailand, Sarach Yooyen yang juga pemain tengah paling berpengaruh di padang.
Kalau tak silap dan saya yakin ada pencatat statistik yang boleh mengesahkan Sarach melakukan sentuhan bola terbanyak dalam Sukan SEA ini.
Trio itu pemain istimewa yang perlu ada bagi setiap pasukan manakala ketiga-tiga pemain negara yang disebut tadi pula berupaya melangkah ke satu lagi tahap.
Ketiga-tiga pemain kita sudah membekalkan tahap kecergasan tinggi yang sekian lama menjadi masalah sehingga kini.
Pemain tengah, Amirul dinasihatkan supaya menyaksikan dengan teliti corak permainan Safiq serta Arturo Vidal. Dua pemain ini harus menjadi contoh bagi Amirul untuk belajar gerak geri serta selok-belok kejayaan di padang.
Nurridzuan pula dikehendaki bertenang sedikit apabila menguasai bola. Bukannya selalu harus berlari 100 batu sejam tetapi boleh diselangi dengan pergerakan larian pendek bertenaga untuk mengatasi pihak lawan.
Pemain bek kiri Barcelona, Jordi Alba boleh menjadi contoh bagi Nazirul Naim. Perhatikan bagaimana pemain ini memulakan serangan dari posisi bertahan sehingga ke kotak penalti lawan. Beranikan diri dan meminta bola sekerap mungkin. Sudah sampai masanya untuk Nazirul memegang watak utama dan memikul lebih tanggungjawab.
Kini sudah tiba masanya untuk ketiga-tiga pemain ini meninggalkan ‘ketiak emak’ atau dikenali dengan nama sebenarnya, Harimau Muda untuk belajar berdikari menerusi kebolehan serta potensi diri sendiri.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment