Saturday, June 6, 2015

Bimbang tak adil

Kebimbangan mula menyelubungi kem terjun negara apabila mereka memulakan pemburuan pingat di Pusat Akuatik OCBC hari ini selepas Setiausaha Agung Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Mae Chen berharap tiada penjurian berat sebelah berlaku dalam acara itu.

Mae Chen yang juga pengurus pasukan berkata, beliau mempunyai sebab tertentu untuk menyuarakan kebimbangan itu kerana percaya mata mereka akan dipotong khususnya apabila menentang penerjun tuan rumah.

“Juri kena berlaku adil, mereka perlu menilai dan memberi markah dengan betul. Saya harap tidak berlakunya berat sebelah dengan tidak mengambil kira atlet itu dari negara mana.

“Sudah pasti kami mahu mengulangi pencapaian yang kami lakukan di Sukan SEA Myanmar dua tahun lalu dan menyapu bersih kesemua lapan pingat emas. Itu misi utama kami di sini,” katanya selepas memantau sesi latihan atlet negara di Pusat Akuatik OCBC semalam.


Katanya, beliau tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, cuma berharap masalah penjurian itu tidak berlaku bagi memastikan sukan ini terus berkembang di rantau Asia Tenggara.

“Saya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak tapi jika anda lihat, atlet tuan rumah pasti akan mendapat 'kelebihan'. Ini tidak adil. Kesannya akan menghancurkan semangat atlet lain yang mahu bertanding,” kata Mae.

Malaysia membariskan ramai nama besar termasuk pemenang gangsa Sukan Olimpik Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee dalam kesemua empat kategori lelaki dan wanita yang dipertandingkan di Sukan SEA.

Sementara itu penerjun veteran, Mun Yee yang bakal membuat penampilan ke-10 berturut-turut di Sukan SEA, tidak mahu memikirkan masalah luaran sehingga menjejaskan fokus untuk menambah koleksi 13 emas temasya dimiliknya setakat ini.

“Apa saja masalah ‘luaran’ dalam sukan ini saya tak mahu tahu. Saya hanya mahu fokus terhadap terjunan saja,” katanya yang tidak pernah gagal menuai emas sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2011.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment