Kelmarin saya cukup bersemangat untuk memulakan tugas dengan lokasi yang dituju Pusat Akuatik OCBC.
Ini kerana atlet negara Katrina Ann Abd Hadi/Zylane Lee dijangka memberikan pingat emas pertama kontinjen negara menerusi acara renang berirama duet dan ternyata mereka tidak menghampakan.
Tepat jam 2.10 petang, lagu Negaraku berkumandang dan bagi saya, ia sesuatu yang istimewa untuk menyaksikan detik bersejarah itu.
Kepuasan dapat dirasai di wajah Katrina dan Zylane yang bertungkus lumus selama dua bulan terakhir berlatih untuk menewaskan musuh ketat Singapura di arena lawan.
Namun ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila skuad bola sepak bawah 23 tahun negara tewas 0-1 kepada Thailand di Stadium Bishan beberapa jam selepas itu.
Kekalahan itu cukup memberi kesan kepada kedudukan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu yang bakal pulang awal di temasya sukan dwi tahunan ini.
Memang mengecewakan kerana pasukan kita tercicir dalam pemburuan ibu segala pingat.
Empat tahun lalu saya antara puluhan ribu penonton yang berada di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta menyaksikan anak buah Kim Swee merangkul emas dan kali ini keghairahan itu hilang sebelum temasya sukan dirasmikan semalam.
Ketika pemberita Thailand dengan jumlahnya seperti membuat liputan menteri, bertepuk tangan ketika jurulatihnya Choketawee Promrut masuk ke sidang akhbar selepas perlawanan kelmarin, wajah sekelompok wartawan Malaysia pula sugul.
Tapi inilah kehidupan, ada masa kita gembira dan ada masa kecewa. Tanpa rasa kecewa kita tidak dapat menghargai sesuatu kegembiraan itu.
Buat pemain dan semua pihak yang terbabit khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jadikan ini pengajaran, dua tahun lagi kita pasti tidak mahu ia berlaku di laman sendiri apabila kita menjadi tuan rumah.
Tanpa ibu emas kali ini, memang seperti ‘hilang seri’ namun ia bukan penamat segala-galanya.
Ayuh Malaysia, kita boleh lakukan!
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment