SINGAPURA, 7 Jun (Bernama) -- Atlet wushu negara, Loh Jack Chang meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya meraih satu pingat emas pada Sukan SEA 2015 yang bermula semalam.
Loh, 28, yang membuat penampilan kali kelima berturut-turut pada Sukan SEA sejak edisi 2007 di Korat, Thailand, sekadar meraih pingat perak dalam acara taijijian wajib lelaki dengan catatan 9.69 mata di Dewan 2, Pusat Konvesyen dan Pameran Singapura (Singapore Expo) di sini, hari ini.
"Saya agak kecewa sedikit dengan persembahan hari ini dan saya masih ada dua lagi acara, esok iaitu taijiquan pilihan dan wajib dan saya harap dapat keputusan yang lebih baik berbanding hari ini," kata Loh ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat acara berkenaan.
Atlet Filipina, Daniel Parantac melakar kejutan selepas meraih emas dengan catatan 9.71 mata manakala Julius Kurniawan dari Indonesia terpaksa berpuas hati dengan gangsa dengan pungutan 9.68 mata.
Untuk rekod, Loh pernah meraih satu pingat emas dalam acara Taijiquan pada edisi 2009 di Laos.
Berkongsi pandangan sama adalah atlet pelapis wanita kebangsaan, Chan Lu Yi yang mengharapkan satu kilauan emas mampu dijelmakan dalam acara ketiganya iaitu Duilian bersama Audrey Chan Yee Jo, esok.
Beliau meraih pingat peribadi kedua iaitu gangsa dalam acara taijiquan pilihan wanita dengan catatan 9.65 mata manakala seorang lagi wakil negara, Ng Shin Yii sekadar menghuni tempat ketujuh dengan pungutan 9.27 mata.
Semalam, Chan meraih pingat perak dalam acara taijiquan wajib wanita.
"Saya ingin mendedikasikan kemenangan satu perak dan satu gangsa ini kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban selain jurulatih (Lim Yew Fai) dan juga rakan sepasukan," kata pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.
Peserta Indonesia, Lindswell Lindswell melakar kejutan dengan memenangi pingat emas menerusi catatan 9.73 mata manakala perak menjadi milik Tran Thi Minh Huyen dari Vietnam dengan kutipan 9.69 mata
Dalam pada itu, Phoon Eyin, yang juga atlet wushu wanita negara, mengintai peluang untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2013 menerusi acara Qiangshu (lembing) yang berlangsung esok.
Anak jati Negeri Sembilan itu sekadar meraih perak dalam acara pedang dengan kutipan 9.68 mata, hari ini.
Eyin, yang membuat penampilan kali kedua pada Sukan SEA selepas edisi 2013 di Myanmar, sekadar menduduki tempat keempat bersama Loh Ying Ting dalam acara Duilian semalam dengan kutipan 9.63 mata.
"Saya agak puas hati dengan kutipan perak namun saya bertekad untuk mendapat keputusan lebih baik esok," kata atlet berusia 19 tahun itu.
Pingat emas menjadi milik Duong Thuy Vi dari Vietnam menerusi kutipan 9.70 mata dan gangsa menjadi milik seorang lagi wakil negara, Aggie Cheah Ruey Shin (9.63 mata).
Eyin pernah melakar sejarah tersendiri dengan menjadi penyumbang pingat ke-1000 untuk negara sejak Sukan SEAP 1959 menerusi kutipan pingat emas dalam acara Qiangshu wanita pada edisi 2013 di Myanmar.
Sumber -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment