SINGAPURA, 7 Jun (Bernama) -- Perenang negara yang sedang meningkat, Wong Fu Kang meraih pingat emas pertama Malaysia dalam acara renang pada Sukan SEA ke-28 di sini malam ini.
Perenang berusia 16 tahun itu juga memperbaharui rekod kebangsaannya 1:02.56s dengan catatan terbaharu 1:02.46s dalam acara 100m kuak dada lelaki.
Pada 26 Mac, beliau memecahkan rekod kebangsaan kuak dada lelaki selama 15 tahun yang disandang oleh Elvin Chia pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia.
"Saya agak gementar apabila saya berjaya menempah tempat pada pusingan akhir. Ini adalah pingat emas pertama saya pada Sukan SEA. Ia satu pengalaman yang menakjubkan.
"Saya benar-benar menjalani latihan keras untuk kejayaan ini dan saya gembira dengan keputusannya," kata perenang kelahiran Johor itu.
Semalam, beliau tidak memenangi sebarang pingat dalam acara 200m kuak dada dan sekadar mampu menduduki tempat kelima dengan catatan 2:18.51s.
"Ia suatu pengalaman yang baik bagi saya. Saya bergerak terlalu pantas dalam saingan 100 meter pertama dan kehilangan momentum," katanya.
Skuad renang Malaysia juga menggondol pingat perak dalam acara 4x200m rampaian gaya bebas lelaki.
Kuartet terdiri daripada Daniel Bego, Kevin Yeap, Lim Ching Hwang dan Welson Sim, mencatatkan 7:30.13s, 11.99 saat di belakang kuartet Singapura yang mencipta rekod baharu Sukan SEA dengan masa 7:18.14s.
Kuartet republik itu memperbaharui rekod lama mereka iaitu 7:26.67s yang dicatatkan di Sukan SEA Myanmar pada 2013.
Sumber -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment