SKUAD bola sepak negara wajib menang ke atas
Thailand hari ini bagi menghidupkan peluang memburu tempat ke pusingan kedua.
SINGAPURA – “Lupakan Nazmi, lupakan kekalahan kepada Vietnam. Kita harus bangkit.”
Demikian tegas Ketua Kontinjen negara Malaysia ke Sukan SEA ke-28, Datuk
Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar) kepada pasukan bola sepak negara selepas
nasib mereka umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ selain bergelut untuk
melangkah ke peringkat lebih tinggi pada edisi kali ini.
Kelmarin, skuad negara dikejutkan dengan perkhabaran mendukacitakan
apabila pemain tengahnya, Muhammad Nazmi Faiz Mansor digantung enam perlawanan
oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) kerana didapati bersalah meludah pemain
Timor Leste pada aksi pertama peringkat Kumpulan B, Sabtu lalu.
Beberapa jam kemudian, skuad negara terus dirundung malang apabila
harapan untuk mencari mata penuh ketika aksi menentang Vietnam berkecai selepas
diratah mudah 5-1 oleh pasukan yang dibimbing Miura Toshiya itu.
Mengulas mengenai prestasi dan nasib skuad bola sepak yang diibarat
sebagai berada di hujung tanduk, Norza berkata, pihak pengurusan, jurulatih dan
para pemain perlu duduk semeja dan berbincang mengenai sebarang masalah dan
segera menyelesaikannya.
“Saya sedih dengan pencapaian skuad bola sepak. Saya bercakap dengan
jurulatih, Datuk Ong Kim Swee mengenai skuad bola sepak. Saya katakan bahawa
corak permainan dan cara kita bermain tidak nampak seperti yang kita harapkan.
Harapan rakyat kepada skuad bola sepak sangat tinggi dan mereka (penyokong)
berhak disajikan dengan satu persembahan yang baik.
“Kita kata, kita kuasa bola sepak di Asia Tenggara tetapi apa yang telah
kita lakukan itu belum lagi memperlihatkan bahawa kita memegang status
tersebut. Memang ia merupakan sebahagian daripada adat pertandingan tetapi
kita perlu mempersiapkan para pemain dari segi mental dan fizikal kerana
cabaran Vietnam, Thailand dan pasukan lain sangat sengit,” katanya ketika
ditemui di sini semalam.
Tambahnya, walau apa pun, pasukan bola sepak negara masih mempunyai
harapan untuk mara tetapi mereka perlu segera melupakan kes yang menimpa Nazmi
dan kekalahan ke atas Vietnam selain perlu segera bangun dan bersiap sedia
menghadapi Thailand.
Mengulas mengenai keputusan penggantungan dikenakan ke atas Nazmi, Norza
menjelaskan bahawa pendiriannya masih sama seperti sebelum ini dan menganggap
ia merupakan satu tindakan yang salah dan wajar menerima hukuman.
“Saya fikir seluruh pasukan perlu duduk dan berbincang mencari kelemahan
dan kekurangan serta perlu mengambil iktibar, bukan sahaja mengharapkan doa dan
nasib semata-mata, itu tidak mencukupi.
“Bagi saya, bola sepak masih belum terlambat dan pintu masih belum
tertutup sepenuhnya. Mereka perlu tewaskan Thailand dan saya fikir mereka mampu
melakukannya,” ujarnya.
Sumber: Kosmo
No comments:
Post a Comment