SESI latihan skuad
negara terbantut semalam kerana padang yang disediakan oleh pihak penganjur di
Politeknik Nanyang, Singapura ibarat ‘petak sawah’.
SINGAPURA –
Serangan psikologi tuan rumah, Singapura ke atas skuad bola sepak negara
semakin menjadi-jadi. Ketika skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee (gambar) itu
sedang dalam persiapan untuk menghadapi Thailand pada aksi ‘hidup atau mati’
hari ini, pihak penganjur telah menyediakan padang ibarat ‘petak sawah’ buat
skuad negara menjalani latihan.
Akibatnya,
sesi latihan terbantut sebaik Kim Swee mendapati keadaan padang di Politeknik
Nanyang, Singapura itu bukan tempat yang sesuai untuk berlatih.
Permukaan
padang yang tidak rata telah memaksa Kim Swee mengubah perancangannya dan
mereka sekadar melakukan latihan fizikal lebih ringan kerana takut para pemain
mengalami kecederaan.
“Saya
merancang untuk mengadakan latihan taktikal kerana beberapa perubahan bakal
dilakukan dalam skuad utama pada aksi getir menentang Thailand esok (hari ini)
tetapi selepas mendapati keadaan padang yang sangat mengecewakan, kami membuat
keputusan untuk menjalani latihan ringan sahaja,” jelas Kim Swee yang mahu
mencuba taktikal baharu ekoran kekalahan terus 1-5 kepada Vietnam pada aksi
kedua peringkat Kumpulan B kelmarin.
Kim Swee
mengambil keputusan untuk membuat rombakan pada aksi menentang Thailand hari
ini dan perancangannya untuk mencuba strategi baharu yang bakal digunakan pada
perlawanan itu nanti tidak dapat dilaksanakan.
“Padang di
Politeknik Nanyang bukan padang yang sesuai untuk menjalani latihan dan ini
merupakan kali pertama kami dihantar ke sini untuk berlatih. Saya sangat kecewa
dengan keadaan padang.
“Ia mungkin tidak menjejaskan pemain tetapi boleh
mengundang kecederaan kepada mereka,” tegasnya.
Katanya, beliau telah meminta kebenaran pihak
penganjur untuk menukar tempat latihan di sebuah gelanggang futsal yang di
tempatkan di salah sebuah hotel berdekatan, namun tidak dibenarkan,” katanya
ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.
Dalam pada itu, Kim Swee memberitahu, para
pemainnya kini sudah melupakan kekalahan teruk kepada Vietnam kelmarin dan
bersedia berdepan misi ‘hidup mati’ menentang Thailand sambil mengharapkan
keajaiban 2009 ketika muncul juara biarpun turut tewas kepada Vietnam 3-1
ketika itu kembali mengiringi mereka .
“Kejayaan 2009 mungkin boleh memberi motivasi
kepada para pemain. Ia satu contoh yang baik kerana tiada yang mustahil dalam
bola sepak. Kita harus ingat bagaimana skuad negara bangkit selepas tewas
kepada Vietnam ketika itu dan saya harap sejarah akan berulang dan mampu
menewaskan Thailand esok (hari ini) untuk menghidupkan kembali peluang kita.
“Apabila turun esok (hari ini), taktikal memainkan
peranan penting selain kekuatan mental pemain, kita tidak boleh memikirkan
mengenai cuaca dan kepenatan. Kena tolak ke tepi semua perkara yang akan
memberi impak negatif. Jika pemain mempunyai sikap melawan serta bermain
sepenuh hati, kita mampu menang,” ujarnya.
Sumber: Kosmo
No comments:
Post a Comment