SINGAPURA, 7 Jun (Bernama) -- Hujan lebat yang turun sejak awal pagi di National Sailing Center menyebabkan pihak penganjur temasya Sukan SEA terpaksa menunda perlumbaan yang sepatutnya bermula pukul 10.30 pagi.
Penolong pengurus pasukan skuad pelayaran negara, Mohd Afendy Abdullah berkata hujan lebat yang turun sejak pukul 8.00 pagi menyebabkan perlumbaan terpaksa ditunda sehingga hujan berhenti.
"Saya fikir dalam tempoh beberapa jam lagi hujan akan mula berhenti dan atlet pelayaran negara akan dapat turun beraksi nanti," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata harapan tinggi diletakan kepada acara berpasukan optimist (U16) yang mempunyai peluang cerah untuk mara ke pusingan suku akhir sekiranya berjaya memenangi perlumbaan keenam yang dijadualkan bermula pada 1 tengah hari.
"Jika kita menang perlumbaan hari ini maka pingat gangsa atau perak pasti menjadi milik pasukan negara," katanya.
Pasukan optimist dibarisi oleh Muhammad Fauzi Kaman Shah (kapten), Abdul Latif Mansor, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri, Nur Aisah Rose Ramlee dan Muhammad Dhiauddin Rozaini.
Muhammad Fauzi, 13, berkata dia yakin pasukanya mampu mara ke pusingan akhir walaupun berdepan saingan hebat dari pasukan Thailnd dan Singapura.
"Sejak dari awal perlumbaan saya telah mempunyai keyakinan untuk menang," kata pemenang gangsa acara yang sama di Sukan SEA edisi Myanmar dua tahun lepas ini.
Sumber -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment