KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Kedaan angin yang tidak menentu ditambah dengan deretan kapal besar berlabuh di sekitar National Sailing Center yang menjadi venue acara pelayaran menghalang fokus pelayar yang beraksi di Sukan SEA Singapura 2015.
Bukan hanya pelayar negara sahaja yang mengeluh dengan keadaan tersebut, malah beberapa pelayar dari negara lain berkongsi masalah yang sama.
Pelayar Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Afendy berkata keadaan angin yang tidak menentu kadang-kadang kuat dan perlahan memberi cabaran besar kepada beliau ketika turun beraksi di laut.
"Pelayar terpaksa berfikir dengan lebih kreatif mencari rentak angin ketika beraksi di laut," katanya kepada Bernama hari ini.
Pemenang pingat emas Sukan SEA edisi Myanmar 2013 dalam acara Laser Standard dan Kelas International 420 ini berkata kedaan tersebut bagaimanapun tidak menghalangnya untuk terus berusaha memburu pingat.
Sementara itu seorang pelayar dari negara jiran yang tidak ingin menyebut nama dan negaranya berkata keadaan angin tidak menentu disebabkan oleh halangan beberapa buah kapal kargo berlabuh di sekitar venue kejohanan.
"Sekiranya saudara tanya pelayar lain termasuk pasukan tuan rumah sendiri, mereka pasti mengeluh perkara yang sama, namun saya tidak menyalahkan pihak penganjur dalam perkara ini sebaliknya menjadikanya sebagai cabaran," katanya.
Katanya cabaran dalam menghadapi keadaan angin yang tidak menentu dan halangan lain adalah merupakan perkara biasa yang perlu dilalui oleh seorang pelayar ketika beraksi dalam apa jua kejohanan.
Sumber -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment