Sunday, June 7, 2015

Natalya buah hasil

NATALYA (kanan) tak menghampakan.

Penampilan pertama Natalya Wah Idris tidak menghampakan apabila membantu pasukan ekuestrian negara memenangi pingat gangsa acara dressage berpasukan sekali gus menamatkan penantian pingat dalam acara itu sejak 2007.

Natalya yang menggalas tugas diberikan bersama Shaiful Din serta Izry Razali di Kelab Berkuda Singapura memungut 170.737 mata dengan emas menjadi milik Indonesia (206.579), mengatasi wakil tuan rumah (201.711) perak.

Natalya, 19, yang menyumbang 58.079 mata dengan menunggang Tallong Coral mengakui tertekan sebelum beraksi namun berjaya mengawal situasi sebaik berada di dalam gelanggang.

“Ini Sukan SEA pertama dan saya sangat gembira dengan persembahan ini kerana tidak meletakkan sasaran tinggi.


“Tekanan sangat kuat dirasai kerana saya peserta Malaysia terakhir beraksi tadi (semalam) namun saya cuba bertenang dan gembira kerana dapat mengawal situasi,” kata Natalya.

Rakan sepasukannya Shaiful yang menunggang Thor De Martinpre meraih 56.395 mata manakala Izry dengan Cookie 'N Cream (56.263).

Ketika ditanya kemungkinan kehadirannya menggugat kedudukan kakaknya Natasha, 22, dalam pasukan, Natalya berkata: “Tidak, kami akan menyokong pasukan showjumping negara. Kami semua mahukan setiap daripada kami melakukan aksi terbaik.”

Kejayaan semalam memastikan Malaysia merangkul pingat pertama dalam acara dressage sejak memenangi emas 2007 dan gagal menaiki podium pada 2011 dan 2013.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment