Kuala Lumpur: Selepas muncul penyumbang emas pertama di Sukan SEA Singapura, gandingan renang berirama Katrina Ann Abd Hadi (kanan) dan Zylane Lee kini memberi perhatian sepenuhnya untuk cuba melayakkan diri di pentas lebih besar termasuk Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, tahun depan.
Menurut Katrina, sudah menjadi impiannya sejak sekian lama untuk bersaing di arena Olimpik biarpun sebelum ini pernah mencuba dua kali namun gagal layak pada edisi 2008 Beijing dan 2012 London.
“Saya rasa Sukan SEA ini permulaan terbaik kami bangkit dan semuanya berjalan lancar mengikut perancangan jurulatih. Selepas ini fokus utama sudah pasti terarah kepada kelayakan Sukan Olimpik, Mac tahun depan.
“Apa yang penting, saya harap prestasi ini akan kekal hingga ke tahun depan agar impian untuk ke Olimpik tercapai,” katanya ketika ditemui media sebaik tiba dari Singapura di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.
Katrina dan Zylane memenangi acara duet rutin bebas selepas menewaskan pasangan Singapura dengan 150.9103 mata keseluruhan, mengatasi gandingan tuan rumah dan Indonesia di tempat kedua dan ketiga.
Di samping itu, pasangan emas itu juga turut membantu pasukan berirama negara membawa pulang dua perak melalui acara rutin campuran bebas berpasukan dan rutin bebas berpasukan.
Sementara itu, Zylane turut berkongsi rasa gembira kerana dapat kembali semula kepada prestasi asal selepas mengalami kemerosotan sebelum ini.
“Segala kerja keras saya sejak tahun lalu sudah mula menampakkan hasil kerana program latihan saya berbeza dengan atlet lain disebabkan faktor fizikal selain masa saya yang terhad kerana masih belajar,” katanya.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment