“Ini peluang
terbaik buat pemain muda menyerlah,” kata jurulatih skuasy negara, Peter
Genever menjelang penampilan pertama anak buahnya di temasya Sukan Sukan 2015
Singapura.
Genever
mengharapkan anak buahnya terus bersemangat dan mempunyai sikap terus berjuang
walaupun mereka kali pertama beraksi di temasya dwi tahunan itu, apabila acara
ini tidak dipertandingkan di Sukan SEA 2009 Laos, Indonesia 2011 dan Myanmar
2013.
“Saya
menasihatkan mereka supaya memberi aksi terbaik. Saya yakin mereka mampu
membawa pulang pingat emas,” katanya.
Kelapan-lapan
pemain yang mengambil bahagian kebanyakan berusia 23 tahun ke bawah dan
langsung tidak mempunyai pengalaman beraksi di Sukan SEA namun mereka dilihat
tidak berdepan masalah meraih kejayaan berikutan sejarah Malaysia sebagai kuasa
besar sukan itu.
“Jika mereka mahu memenangi sebarang acara di Sukan
SEA perkara utama harus dititikberatkan ialah mampu mengawal tekanan dan saya
akui ini kejohanan yang boleh menjadikan mereka berjaya di peringkat senior
pada masa akan datang.
“Kebanyakan mereka pemain muda tapi sudah
menunjukkan kemampuan masing-masing di Kejohanan Asia Individu baru-baru ini,
walaupun ada yang terkandas di pusingan pertama dan kedua,” katanya.
Antara pemain yang disenaraikan ialah Rachael
Arnold, Vanessa Raj, Teh Min Jie dan Zulhijjah Azan untuk kategori wanita,
manakala lelaki pula bakal menampilkan Muhammad Adden Idrakie Bahtiar, Sanjay
Singh, Valentino Bong dan Mohammad Syafiq Mohd Kamal.
Skuasy yang akan dipertandingkan di Pusat Skuasy
Kallang akan bermula Selasa ini hingga 15 Jun dengan menawarkan lima emas, lima
perak dan lima gangsa.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment