Thursday, June 4, 2015

Gangsa kedua lebur

 
Pasangan Syakirin (kanan), Rou You terkandas di suku akhir
 
Beregu campuran negara Muhd Shakirin Ibrahim-Lee Rou You terlepas peluang menambah pingat gangsa buat pasukan pingpong negara apabila tumpas di suku akhir di Stadium Tertutup Singapura semalam.

Shakirin-Rou You yang buat kali pertama berpasangan di kejohanan antarabangsa tumpas 12-10, 8-11, 12-10, 9-11, 9-11 ketika menentang gandingan Vietnam Dinh Quang Linh-Mai Hoang My Trang.

Menurut Syakirin, antara masalah atau penyebab utama mereka tewas dalam perlawanan semalam ialah kelemahan pasangannya, Rou You membalas pukulan Quang Linh.

“Tidak ada rezeki dan kami sudah cuba yang terbaik. Masalahnya Rou You seperti takut dengan pukulan pemain lelaki mereka,” katanya selepas perlawanan tamat semalam.

Jelasnya, walaupun pada set penentuan mereka sudah mendahului sebelum dikejar lawan 9-9 ia bukanlah disebabkan mereka berdepan masalah kelemahan mental.

“Bagi saya ketika di kedudukan mata genting, kami tidak berdepan dengan sebarang masalah, cuma lemah ketika mahu mengambil dan melakukan servis. Dari segi mengawal di belakang meja saya rasa tidak ada masalah.


“Saya akui ketika mendahului mereka 2-1, kami berasa sedikit tertekan dan ditambah pula Rou You kali pertama beraksi di Sukan SEA,” katanya yang sudah beraksi sebanyak enam kali di temasya dwi tahunan ini.

Ditanya sama ada jadual padat menjejaskan rentak permainannya, Shakirin berkata, ia juga bukan punca utama mereka kalah semalam dan mengakui ia lebih kepada masalah keserasian serta kurang taktikal.

"Kalau hendak diikutkan rekod sebelum ini ketika berpasangan bersama Beh Lee Wei, kami tidak pernah tumpas kepada Quang Linh-Hoang My Trang, sebab kali pertama Rou You beraksi dia mungkin berasa gugup.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment