Monday, May 18, 2015

Sedia gegar Sukan SEA





Melaka: Olahragawan dan Olahragawati Negeri Melaka 2013-2014 bertekad untuk menyumbang pingat emas kepada negara dalam acara wushu pada Sukan SEA di Singapura bulan depan.
Ho Mun Hua dan Ng Shin Yii (gambar) berkata, mereka kini giat melakukan latihan secara intensif di Bukit Jalil dan baru selesai menjalani latihan bersama kira-kira 20 atlet sukan wushu negara selama sebulan di China.

Mun Hua, 26, yang berasal dari Machap Baru, Alor Gajah dekat sini berkata, dia akan mengambil masa sebelum menyertai Sukan SEA ini untuk meningkatkan latihan serta memastikan stamina dan kesihatannya berada dalam keadaan terbaik.

“Saya amat gembira dengan anugerah ini dan saya harap dapat menyumbang lebih banyak pingat untuk negara terutamanya Sukan SEA bulan depan seterusnya akan terus mengharumkan nama Melaka,” katanya.

Sementara itu, Shin Yii, 26 dari Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Alor Gajah dekat sini berkata, dia tidak menyangka akan dinobat sebagai Olahragawati Melaka 2013-2014 dengan saingan sengit daripada atlet lain dan berharap ia akan menjadi pembakar semangat untuk beraksi cemerlang pada Sukan SEA.

“Saya berasa amat terkejut kerana tidak sangka akan mendapat anugerah ini tapi pada sama berasa gembira, terima kasih kepada negeri Melaka yang memberikan anugerah ini,” katanya. 



- BERNAMA

No comments:

Post a Comment