Monday, May 18, 2015

Fokus badminton kepada Sukan SEA





SEPANG – Meskipun baru menamatkan saingan Piala Sudirman di Dongguan, China namun barisan pemain negara tidak diberikan cuti, sebaliknya akan kembali menjalani latihan seperti biasa esok untuk persiapan ke Sukan SEA di Singapura bulan depan.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen berkata, walaupun sekadar menamatkan saingan di peringkat suku akhir Piala Sudirman, namun dia percaya skuad kebangsaan mampu mencapai keputusan yang lebih baik di Singapura sekiranya mereka bekerja keras bermula dari sekarang.

“Saya sangat berpuas hati dengan aksi di Piala Sudirman, beregu lelaki (Goh V Shem-Tan Wee Kiong) dan beregu campuran (Chan Peng Soon-Goh Liu Ying) beraksi cemerlang di sana dan kami sudah menyediakan senarai kejohanan lain untuk mereka sepanjang tahun ini bagi menaikkan ranking mereka. 

“Sukan SEA dilihat lebih mudah jika dibandingkan dengan Piala Sudirman dan kami berharap kedua-dua pasangan itu dapat melangkah ke pusingan akhir bagi mencerahkan harapan untuk meraih pingat emas.

“Saya juga berharap beberapa acara individu lagi akan turut melangkah ke pusingan akhir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.

Skuad negara berjaya mencapai sasaran suku akhir yang ditetapkan oleh BAM di Dongguan, namun gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada Korea 1-3 dengan mata tunggal negara disumbangkan jaguh negara Datuk Lee Chong Wei.

Selain itu, Frost menegaskan, BAM akan meneruskan usaha untuk menghantar lebih ramai pemain muda ke kejohanan antarabangsa bagi membentuk generasi pelapis yang berkualiti.

Walaupun tumpuan akan diberikan kepada pemain muda, namun dia memberitahu, BAM akan terus memberikan fokus kepada Chong Wei kerana pemain berusia 33 tahun itu merupakan harapan terbaik untuk meraih kejuaraan dalam Kejohanan Dunia di Jakarta, Ogos ini.

“Kami akan terus memberikan tumpuan kepada Chong Wei kerana peluangnya cerah untuk muncul juara Kejohanan Dunia kali ini selain pingat emas Sukan Olimpik tahun depan.

“Tetapi kami tidak akan mengabaikan barisan pemain muda kami. Mereka akan diberikan peluang kerana saya percaya, skuad kebangsaan memerlukan muka-muka baharu untuk tahun-tahun akan datang.

“Saya berharap, kami akan dapat membentuk sebuah pasukan yang mantap bagi semua acara dalam tempoh tiga ke empat tahun dari sekarang,” katanya.



UTUSAN

No comments:

Post a Comment