Monday, May 18, 2015

‘Peluang kita cerah’






Kuala Lumpur: Selepas sekadar berada pada kedudukan kelima keseluruhan dengan meraih empat emas, enam perak dan tiga gangsa pada Sukan SEA Myanmar dua tahun lalu, peluang skuad olahraga negara untuk menyinar di Singapura bulan depan amat cerah terutamanya dalam acara pecut.

Pandangan itu disuarakan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berdasarkan kejayaan atlet pecut yang layak secara merit pada temasya kali ini, malah catatan masa yang dilakukan pelari pecut negara begitu baik walaupun masih ada beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki.

“Saya melihat pasukan olahraga tahun ini mampu melepasi empat pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Myanmar.

“Atlet pecut kita berada pada prestasi terbaik dan mampu membawa pulang emas untuk negara. Bagi saya yang pergi ke sana semuanya layak secara merit, ia menunjukkan mereka mempunyai potensi untuk meraih emas,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Berdasarkan prestasi terkini, atlet 100 meter Mohd Izzuddin Yahya (gambar) menjadi pertaruhan terbaik Malaysia untuk merampas emas dengan catatan masa terpantasnya 10.48 saat yang dilakukannya pada Kejohanan Terbuka Terengganu, Mac lalu.

Menurut Nazmizan yang kini berkhidmat sebagai jurulatih olahraga di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), kuartet 4x100 meter lelaki juga berada pada landasan terbaik untuk memecah dominasi Thailand yang menguasainya sejak sekian lama.

“Untuk acara berganti-ganti, Malaysia mampu bersaing hebat mendapatkan emas dengan harapan pertukaran baton itu mesti sempurna dan tidak menggangu rentak larian pelari kita.

“Rata-rata pelari kita memiliki catatan peribadi baik dengan Din (Mohd Izzuddin Yahya ) 10.42s, Nixson Kennedy 10.50s, Harith Ammar Mohd Sobri 10.55s dan Badrul Hisham 10.59s. Namun perkara paling penting adalah fokus dan lakukan terbaik demi negara,” katanya.

Pada edisi di Myanmar lalu, skuad olahraga Thailand berada dalam kelas tersendiri selepas kekal selaku jaguh utama acara olahraga di rantau Asia Tenggara dengan pungutan 17 emas, 13 perak dan sembilan gangsa selain turut mencipta sembilan rekod baru temasya.

Vietnam merampas kedudukan kedua daripada Indonesia selepas mengutip 10 emas, 11 perak dan 12 gangsa dengan mencipta dua rekod baru manakala Indonesia yang menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2011 sekadar meraih tempat ketiga dengan enam emas, empat perak dan tujuh gangsa dan satu rekod baru.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment