Kuala
Lumpur: Aksinya empat tahun lalu di temasya Sukan SEA Palembang mencuri tumpuan
peminat sukan negara apabila melakar sejarah muncul atlet termuda berusia lapan
tahun menghadiahkan pingat emas buat negara dalam acara ski air.
Malah emas
yang disumbangkan Aaliyah Yoong Hanifah itu menyelamatkan maruah negara apabila
melengkapkan sasaran pingat pada temasya itu. Skuad ski air meraih empat emas,
tiga perak dan satu gangsa.
Pada temasya
di Singapura, skuad negara diperkuat lapan atlet dengan sasaran mengulangi
pencapaian sama seperti empat tahun lalu.
Paling
menarik acara ski air itu akan menyaksikan kelibat keluarga Hanifah Yoong
selain Aaliyah, adiknya yang juga pasangan kembar berusia tujuh tahun, Adam dan
Aiden akan turut beraksi masing-masing dalam acara Wakeboard dan Trick.
Bagi ibu
merangkap jurulatih adik-beradik itu, Norzeela Sulaiman yakin Aaliyah mampu
beraksi cemerlang mempertahankan pingat dimenangi di Palembang dalam acara
tricks.
Namun bagi
Adam dan Aiden, mereka juga berpeluang melakar kejayaan mengulangi apa yang
pernah dilakukan kakak mereka empat tahun lalu.
“Aaliyah
memang diletakkan sasaran emas tapi Adam dan Aiden ada sedikit kesukaran kerana
mereka masih kecil tapi itu bukan alasan kerana mereka juga mempunyai peluang.
“Sukan SEA
bukan kejohanan pertama disertai pasangan kembar itu kerana sebelum ini mereka
pernah beraksi di Terbuka Asia dan bersaing dengan peserta lebih dewasa.
“Saya harap
mereka boleh melakar kejutan di Singapura nanti,” katanya mengawasi latihan di
Tasik Putrajaya.
“Tiada
masalah membentuk ketiga-tiga anak sebagai atlet ski air kerana saya menerapkan
disiplin tinggi selain elemen ‘seronok’ setiap kali berlatih.”
Arena -Harian Metro
No comments:
Post a Comment