Kelana
Jaya: Pemain tengah Selangor Mohd Nazmi Faiz Mansor dijangka menggalas tugas
besar bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara ketika mengharungi cabaran
Sukan SEA Singapura yang bermula hujung bulan ini.
Pemain
berusia 21 tahun itu dijangka tampil buat kali ketiga selepas edisi 2011 dan
2013 selain masih layak untuk menyarung jersi negara pada 2017 ketika Malaysia
menjadi tuan rumah nanti.
“Kita
tahu pengalaman yang dimilikinya cukup luas. Saya berharap Nazmi akan menjadi
contoh dan idola kepada pemain lain.
“Kita
mengharapkan pengalamannya mampu membimbing pemain lain terutamanya pemain
muda. Mereka perlu mengikut jejak Nazmi apabila diberikan peluang beraksi,”
kata pengendali skuad Sukan SEA negara Datuk Ong Kim Swee.
Nazmi
antara pemain yang dijangka menjadi pilihan Kim Swee untuk mengemudi barisan
tengah dengan misi merampas kembali pingat emas Sukan SEA selepas sekadar
melangkah ke separuh akhir pada edisi 2013 di Myanmar.
Bagaimanapun,
seperti pemain lain, Nazmi perlu membuktikan kemampuannya dan selepas
mengadakan kem latihan pusat sejak 3 Mei lalu, anak buah Kim Swee dijangka
mengadakan aksi persahabatan menentang kelab Liga FAM Real Mulia FC petang ini.
“Ini
adalah perlawanan persahabatan pertama selepas kira-kira seminggu kami
mengadakan kem latihan pusat. Saya mahu semua pemain mempamerkan prestasi
terbaik kerana ini adalah proses pemilihan.
“Minggu
depan, kita akan memulakan fasa yang berlainan dalam aspek latihan. Jadi saya
berharap semua pemain faham apa yang dilakukan dalam sesi latihan dan
diterjemahkan dalam aksi menentang RMFC nanti,” jelasnya.
Pada
saingan Sukan SEA, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama-sama Thailand,
Vietnam, Laos, Timor Leste dan Brunei.
Ditanya
mengenai keputusan seri tanpa jaringan yang dilakar Vietnam ketika menentang
skuad B-22 Korea Selatan malam kelmarin, Kim Swee berkata ia tidak terlalu
menggusarkannya.
“Kita
tahu mereka bersedia awal (untuk menghadapi Sukan SEA) dengan kebanyakan pemain
adalah yang beraksi di kelayakan Piala AFC Bawah 23 Tahun baru-baru ini. Namun
pada masa yang sama, kita perlu meneliti apa yang Vietnam lakukan kerana kita
akan menentang mereka pada perlawanan di Singapura nanti,” tambahnya.
Oleh
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my
azlanmz@hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment