Monday, May 11, 2015

Skuasy, Floorball sasar Emas pada Sukan SEA Singapura


KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Pasukan skuasy lelaki kebangsaan tidak mahu ketinggalan menjadi penyumbang pingat emas kepada kontinjen negara pada Sukan SEA di Singapura, Jun ini.

Temasya dwitahunan itu juga bakal menjadi medan membuktikan bahawa pemain pelapis juga mampu menggantikan pemain senior ke kejohanan lebih besar pada masa akan datang.

Sanjay Singh Chal dan Muhammad Addeen Idraki antara muka baharu yang akan membawa cabaran negara pada Sukan SEA kali ini dan meletakkan sasaran satu pingat emas dan pingat gangsa pada temasya sukan itu.

"Kami mahu memastikan seorang daripada kami memenangi pingat emas dalam acara skuasy di Sukan SEA kali ini," kata Muhammad Addeen ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perjumpaan dengan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2015 Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, di Bukit Jalil, hari ini.

Sanjay Singh pula menyifatkan penampilan mereka kali ini menjadi pentas untuk menguji keupayaan pemain muda pada temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu.

Acara skuasy yang dipertandingkan semula pada temasya kali ini selepas lapan tahun tidak disenaraikan, menawarkan lima pingat emas dalam acara perseorangan dan berpasukan lelaki dan wanita serta acara beregu lelaki.

Sebagai persediaan terakhir sebelum ke Singapura, skuad negara akan menyertai kejohanan skuasy Sirkit Jelajah Malaysia (SSJM) yang berlangsung di Pulau Pinang dari 18 hingga 22 Mei.

Sementara itu, pasukan floorball menyasarkan pingat emas walaupun bakal menghadapi saingan sengit daripada pasukan tuan rumah, Singapura.

Presiden Persatuan Floorball Malaysia Rizal Razman berkata sasaran itu berdasarkan kejayaan skuad negara meraih dua pingat perak menerusi pasukan lelaki dan wanita pada Sukan SEA di Myanmar dua tahun lepas, walaupun ia dipertandingkan sebagai acara demonstrasi.

"Sekiranya mendapat bantuan secukupnya, saya yakin pingat emas dalam acara floorball tidak mustahil akan menjadi milik Malaysia pada Sukan SEA edisi tahun ini," kata Rizal.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment