Tuesday, May 19, 2015

Olahraga wajar atasi pencapaian empat emas





KUALA LUMPUR – Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim menegaskan, skuad olahraga negara wajar mencatat pungutan pingat yang lebih baik dalam Sukan SEA Singapura, bulan depan ekoran kehadiran Robert Ballard sebagai Pengarah Teknikal Olahraga sejak lebih setahun lalu.

Katanya, warga Australia itu juga telah diserahkan tanggungjawab untuk menetapkan sasaran pingat yang tepat. 

Pada temasya di Myan­mar, dua tahun lalu, olahraga pulang bersama pencapaian terburuk empat emas, enam perak dan tiga gangsa untuk menduduki tangga kelima keseluruhan.
“Dengan kehadirannya, kita patut capai (pungutan pingat) yang lebih baik. Dia telah dibawa masuk, diberi jawatan dan tanggungjawab, tidak akan pula kita (masih) hendak ke belakang (pu­ngutan lebih rendah dari 2013).

“KOM harapkan yang lebih (daripadanya dan atlet negara) tetapi sasaran berapa emas, kami serahkan kepada Ballard selaku Pengarah Teknikal untuk umum, saya tidak boleh mengulas,” katanya elepas pelancaran Maraton Kuala Lumpur Standard Chartered 2015 di Taman KLCC, semalam.

Menurut Karim, setakat ini skuad olahraga akan dibarisi 31 atlet ke Sukan SEA Singapura dan empat lagi sedang cuba dicadangkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), namun mereka hanyalah dalam kalangan yang telah didaftarkan lebih awal. 

Turut hadir dalam pelancaran semalam adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib; Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered, Mahendra Gusahani; Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon dan Pengarah Dirigo Events Sdn. Bhd, Rainer Biemans.
Edisi ketujuh Maraton Kuala Lumpur Standard Chartered pada 4 Oktober ini akan diadakan di Dataran Merdeka yang dijangka disertai 35,000 peserta untuk memburu RM446,335 hadiah keseluruhan. 

Lapan kategori dipertandingkan iaitu Maraton (42.195 kilometer), Separuh Maraton (21km), MSIG 10 km, Larian Ria, 3km dan 1km Pecutan Kanak-Kanak, Cabaran Berpa­sukan 10 Kilometer - Kementerian, Universiti dan Korporat.



 UTUSAN

No comments:

Post a Comment