NORASEELA akan bersaing dalam dua acara - 400m dan 400m berpagar. |
KOAM yakin dia mampu tampung ketiadaan atlit tarik diri
KESATUAN Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) mengharapkan kesudian Noraseela Khalid untuk berlari dalam dua acara - 400 dan 400 meter berpagar - di Vientiane, dapat menampung kehilangan beberapa pingat emas akibat penarikan diri atlit yang menjadi sandaran utamanya.
Dengan KOAM kini kemungkinan hilang pingat dalam acara 20km jalan kaki wanita - yang didominasi atlit negara sejak lebih dua dekad - selepas Yuan Yufang menarik diri kerana mengandung serta yang terbaru, juara Sukan Sea 110m berpagar Rayzamshah Wan Sofian akibat kecederaan, badan induk itu kini menagih sentuhan emas Noraseela.
Berbekal masa membanggakan dalam kedua-dua acara yang dilakukan Noraseela kebelakangan ini, KOAM bernada positif bahawa pelari senior itu akan dapat menyumbangkan dua emas di Vientiane.
“Noraseela sudah menyatakan persetujuan untuk berlari dalam kedua-dua acara itu,” kata ketua jurulatih Hanapiah Nasir, semalam. “Memang tidak ada pertindihan jadual acara itu, dan ia tidak akan terlalu membebankan Noraseela.
“Berdasarkan kepada prestasinya ketika ini dalam kedua-dua acara itu, Noraseela berkeupayaan untuk meraih dua emas dan sememangnya itu yang diharapkan persatuan,” katanya.
“Saya rasa tidak ada tekanan ke atas Seela. Dia seorang pelari yang penuh berpengalaman dan ketika ini menunjukkan prestasi yang cemerlang. Kami tidak akan meletakkan sebarang bebanan ke atas dirinya.”
Kesatuan sebelum ini meletakkan sasaran 10 emas di Vientiane, tetapi dengan penarikan diri Yufang, Rayzamshah dan ketiadaan acara 3,000 meter lari berhalangan wanita (Melinda Kaur), badan induk olahraga itu tampak terdesak untuk mencari jalan menampung kehilangan pingat itu.
Noraseela adalah pemenang pingat emas 400m berpagar pada temasya 2003 di Hanoi tetapi tidak mempertahankan kejuaraannya di Manila 2005 dan Korat 2007, akibat kecederaan. BHARIAN
No comments:
Post a Comment