Friday, December 4, 2009

Anuar yakin genggam emas


ANUAR Manan yakin untuk genggam emas ekoran kekuatan gandingan dengan Loh Sea Keong, Zamri Salleh, Ahmad Fallanie Ali, Ng Yong Li dan Razif Salleh.


KUALA LUMPUR - Keyakinan tinggi mengiringi Anuar Manan untuk merealisasikan impian pingat emas menerusi acara lumba basikal lebuh raya pada Sukan SEA XXV, Laos.

Pelumba yang mencipta nama pada Le Tour de Langkawi (LTdL) itu berkata, sasaran emas itu banyak dibantu dengan kekuatan rakan sepasukan yang terdiri daripada pelumba berpengalaman.

Katanya, gandingan beliau dan Loh Sea Keong, Zamri Salleh, Ahmad Fallanie Ali, Ng Yong Li dan Razif Salleh dilihat begitu mantap.

"Dalam pasukan, memang saya menjadi pelumba tumpuan untuk mengungguli acara lebuh raya di Laos nanti.

"Begitupun, saya tidak kisah siapa yang menjadi pemenangan asalkan pelumba kita.

"Saya bertuah kerana mendapat rakan sepasukan yang cukup berpengalaman, memiliki kelebihan memecut, mengasak dan melakukan pecahan dari kelompok besar.

"Saya sifatkan gandingan pelumba kali ini memiliki kelebihan untuk kami bersama-sama mengungguli acara lebuh raya di Laos nanti.

"Apa yang dapat saya katakan peluang untuk kita mendapatkan emas, cerah,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Kata Anuar, laluan landai sepanjang 160 kilometer perlumbaan di Laos nanti turut memberi kelebihan kepada skuad kebangsaan.

"Perlumbaan di laluan landai memang menjadi kegemaran saya. Faktor ini menjadi satu lagi kelebihan buat skuad negara.

"Dari segi pencabar pula, saya meramalkan pelumba Indonesia yang pernah memenangi satu peringkat perlumbaan LTdL, Samai Amari mampu mencabar kami.

"Ini kerana dia juga hebat dari segi pecutan,'' katanya.

Anuar yang memenangi pingat perak pada Sukan SEA Manila berkata, dia mahu menebus kehampaan pada temasya sukan edisi 2005 itu akibat terjatuh pada pusingan terakhir acara kriterium perlumbaan mata, sekali gus memusnahkan harapannya untuk memenangi emas.

"Jika tidak kerana jatuh, mungkin emas menjadi milik saya. Kini saya mahu menebus kehampaan itu di Laos pula,'' ikrarnya.

Anuar yang baru pulang dari menjalani latihan di Australia berkata, pengalaman berlatih dan menyertai perlumbaan sepanjang 40 hari di Australia, banyak membantu persediaannya untuk beraksi di Laos.

"Sepanjang di Australia, saya menyertai perlumbaan setiap minggu. Pada dua perlumbaan pertama, ia amat sukar, saya tidak dapat mengikut rentak perlumbaan yang pantas.

"Pada peringkat awal, saya gagal menghabiskan perlumbaan.

"Namun, setelah dapat menyesuaikan keadaan di sana, saya memperbaiki persembahan dan berjaya memenangi tiga perlumbaan.

"Pendedahan di sana amat berguna dan saya sudah bersedia untuk beraksi di Laos,'' katanya.

UTUSAN

No comments:

Post a Comment