Friday, December 4, 2009

Satu emas sudah cukup


BARISAN pemain skuad snuker dan biliard negara yang akan beraksi pada temasya Sukan SEA di Laos.


SEKALIPUN tampil tanpa kelibat Moh Keen Hoo, skuad snuker dan biliard negara tetap berazam membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan SEA di Laos yang akan membuka tirainya 9 Disember ini.

Menurut ketua jurulatih skuad snuker dan biliard negara, Melvin Chia, ketiadaan Keen Hoo tidak memberi sebarang impak kepada skuad negara untuk merangkul pingat emas pada kali ini.

"Namun, peluang kami (untuk meraih emas) mungkin tidak setinggi sekiranya dia (Keen Hoo) menyertai kami.

"Kami hormati keputusannya yang belum bersedia untuk ke Sukan SEA kali ini.

"Bagaimanapun, saya yakin kami masih mempunyai peluang untuk sekurang-kurangnya meraih emas dalam acara double menerusi gandingan Thor Shuan Leong dan Lai Chee Wei.

"Mereka telah beraksi bersama sejak empat tahun lalu dan ini memberi kelebihan buat mereka bagi menghadapi lawan nanti," kata Melvin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada Sukan SEA di Korat, Thailand dua tahun lalu, Keen Hoo mencipta kejutan apabila meraih pingat emas dalam acara individu lelaki.

Melvin menambah, harapan skuad negara untuk mempertahankan emas acara individu lelaki agak sukar kerana pihak lawan khususnya dari Thailand memiliki pemain bertaraf antarabangsa.

"Kemahiran yang ada pada pemain negara tidak banyak bezanya dengan pemain luar, cuma pemain negara kurang pendedahan dari segi menyertai pertandingan pada peringkat yang lebih tinggi.

"Saya berharap selepas ini, pemain negara akan berpeluang untuk diberi pendedahan dengan menyertai seberapa banyak pertandingan di luar negara agar setanding dengan pemain dari negara-negara lain," tambahnya lagi. KOSMO

No comments:

Post a Comment