ROBANI cukup cergas untuk hadapi Sukan Sea. |
Kecewa di Korat dua tahun lalu mahu ditebus
BELENGGU kecederaan yang menghantui sudah berjaya ditepis dan kini Mohd Robani Hassan memburu tekad mengulangi kejayaan meraih emas di Sukan Sea Manila empat tahun lalu pada edisi terbaru temasya sukan dwitahunan itu di Laos, minggu depan.
“Saya kini bebas daripada kecederaan dan bersemangat membara untuk mengulangi pencapaian di Manila. Selepas tidak beraksi di Korat dua tahun lalu, saya harap Laos dapat menghadirkan tuah buat saya,” katanya.
Dia yang bakal turun dalam acara 110 meter berpagar bersama Mohd Faiz Mohamed, berkata, kecederaan betis yang menghantui dirinya sehingga agak tenggelam tahun ini, sudah sembuh sepenuhnya.
Robani mengalami kecederaan itu sebelum beraksi dalam acara final pada Kejohanan Terbuka Kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Oktober lalu.
Pemenang pingat emas Sukan Sea Manila 2005 itu tidak dapat mempertahankan kejuaraannya di Korat apabila mengalami kecederaan, sekali gus membuka peluang kepada rakan senegara, Rayzamshah Wan Sofian untuk menjuarainya.
“Ketika ini saya sudah cukup bersedia dan cergas untuk menghadapi Sukan Sea. Saya tidak berasa tertekan atau gemuruh kerana perasaan sebegitu mampu merencatkan prestasi saya.” BHARIAN
No comments:
Post a Comment