Thursday, December 3, 2009

Pemain mampu sumbang pingat


AINIL mahu baiki pingat gangsa di Korat terutama dalam acara individu.

Bakal terima saingan sengit daripada Singapura, Thailand dan Filipina

BERSANDAR kepada prestasi semasa, pasukan golf kebangsaan ke Sukan Sea Laos yang diwakili empat pemain lelaki dan tiga wanita, mampu menyumbat pingat sekalipun bakal menerima tentangan sengit pasukan seperti Singapura, Thailand dan Filipina.

Pemain negara yang mencatat keputusan memberangsangkan di Kejohanan Amatur Asia di Shanghai bulan lalu, Mohamad Iszaimi Ismail berkata, segala persiapan sudah dilakukan dengan baik terutama latihan daripada aspek fizikal dan mental sejak enam bulan lalu, dan dia kini hanya menunggu kejohanan berlangsung.

“Sekalipun pertama kali beraksi di Sukan Sea, harapan untuk merangkul pingat adalah cerah dan sasaran saya ialah emas sekiranya tiada aral melintang. Dan jika melihat kepada prestasi semasa berpasukan juga, semua pemain sudah bersedia sepenuhnya.

“Selain itu, oleh kerana lapangan yang digunakan nanti masih asing, semua pemain pasti berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dan ini bergantung kepada keupayaan dan kesabaran,” katanya yang menduduki tempat ketujuh kejohanan di Shanghai itu.

Bagi pemain wanita negara, Ainil Johanil Bakar, hasratnya kali ini adalah untuk membaiki pungutan pingat gangsa yang dimilikinya di Korat dua tahun lalu terutama dalam acara individu.

“Fokus dalam perlawanan menjadi kunci kejayaan saya pada kali ini. Jadi, saya akan sentiasa melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan, tidak kira acara individu mahupun berpasukan,” kata satu-satunya pemain yang pernah bersaing di Sukan Sea dalam skuad kali ini.

Barisan skuad lelaki negara diwakili, Gavin Kyle Green, Nicholas Fung, Mohamad Iszaimi dan Mohamad Iliya Jamil manakala wanita diwakili tiga pemain diketuai Ainil, Kelly Tan serta Michelle Koh Lay Sia.

Mereka akan berlepas ke Laos pada 8 Disember dan mempunyai dua hari tambahan untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang sebelum kejohanan bermula pada 11 Disember. BHARIAN

No comments:

Post a Comment