Wednesday, December 2, 2009

Mew Choo utamakan Sukan SEA


Mew Choo, 26, mengakui tidak terlalu teruja dengan peluang bertanding pada kejohanan lumayan bernilai AS$500,000 (RM1.7 juta) itu kerana sejak awal lagi tumpuannya tiada di situ.

Walaupun tetap menerima pelawaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk menggantikan juara dunia, Lu Lan dari China yang menarik diri, namun Mew Choo berkata, dia akan cuba memberi yang terbaik tetapi tidak terlalu memaksa diri.

"Ia memang satu peluang baik dapat beraksi pada kejohanan Masters Akhir, tetapi saya sebenarnya tidak terlalu memikirkan tentang kejohanan ini kerana sejak awal lagi saya tidak terfikir akan bermain.

"Sudah tentu saya akan cuba memberi yang terbaik di Johor tetapi saya tidak mahu terlalu memaksa diri sehingga menjejaskan keutamaan sebenar saya,'' kata Mew Choo.

Walaupun tidak mencatat keputusan yang cemerlang sejak akhir-akhir ini, malah gagal merangkul sebarang gelaran antarabangsa dalam tempoh dua tahun terakhir, namun nama Mew Choo tiba-tiba kembali menjadi tumpuan selepas mengejutkan pemain No. 1 dunia, Wang Yihan pada suku akhir Terbuka China, dua minggu lalu.

Kemenangan tersebut menaikkan semangat pemain No. 20 dunia itu untuk mengembalikan zaman kegemilangannya, yang telah membawa dia muncul juara Terbuka China 2007.

Kata Mew Choo, dia tidak terlalu memikirkan siapakah lawannya di Masters Akhir tetap lebih berminat untuk membuat persiapan Sukan SEA, di mana dia menganggap jaguh Indonesia, Maria Kristin, Xing Aiying dari Singapura dan Salakjit Ponsana dari Thailand sebagai pencabar utama.

Mew Choo, pemenang pingat emas Sukan SEA 2005 akan memulakan kempen Masters Akhir dengan menentang jaguh India, Saina Nehwal, hari ini. UTUSAN

No comments:

Post a Comment