SEJAK bertanding dalam acara memanah di Sukan Sea 1977 di Kuala Lumpur, Malaysia tidak pernah memenangi pingat emas sehingga menamatkan kemarau itu di Hanoi pada 2003.
Sejak itu, skuad memanah negara tidak lagi menoleh ke belakang apabila sentiasa meletakkan diri dalam senarai emas dengan meraih tiga emas di Manila 2005 dan kemudian Korat 2007.
Kejayaan itu menunjukkan program pembangunan yang dimulakan Majlis Sukan Negara (MSN) membuahkan hasil dan Malaysia mula digeruni di rantau ini dengan memecahkan dominasi pemanah Indonesia dan kali ini di Vientiane, skuad pemanah negara mahu mengulangi pencapaian yang sama.
Di bawah teraju dari Korea Selatan, Lee Jae-hyung, yang menjulang nama pemanah negara di persada antarabangsa, Sukan Sea Vientiane menjadi satu lagi medan untuk ditawan dengan anak buahnya sudah melakukan persiapan yang cukup rapi.
“Sasaran kita ialah untuk mengulangi pencapaian lalu di Korat iaitu dua emas,” kata Jae-hyung. “Kita mempunyai pemanah berpengalaman dan juga beberapa pemanah muda dan saya pasti mereka sudah bersedia untuk berdepan dengan cabaran di Vientiane.”
Sudah tentu sekali harapan negara disandarkan kepada pemenang berpengalaman Cheng Chu Sian dan Wan Mohd Khalmizam Wan Abdul Aziz bagi meneruskan kecemerlangan Malaysia dalam di temasya ini.
No comments:
Post a Comment