ANGKAT berat boleh dianggap sebagai 'penumpang' ke Sukan SEA di Laos, Disember ini.
Istilah 'penumpang' sering digunakan oleh peminat sukan tempatan kepada persatuan yang tidak menjanjikan apa-apa kejayaan kepada negara.
Mungkin itu lebih sesuai diberikan kepada skuad angkat berat negara yang tidak berani meletakkan sebarang sasaran pada temasya di Laos itu.
Mereka hanya menjadikan Sukan SEA Laos sebagai medan menimba pengalaman sedangkan Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz sudah berulang kali menegaskan bahawa ini bukan masa untuk mencari pengalaman.
Begitupun, 'badang-badang' negara itu tidak mahu dilabel seperti itu kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk dibereskan di Laos kelak.
Bukan 'penumpang' tetapi kami tidak mahu terlalu yakin kerana ia sekadar menghadirkan tekanan," kata 'badang-badang' negara itu.
Semalam, pada satu temu bual dengan Kosmo!, skuad angkat berat negara secara terbuka menjelas bahawa mereka tidak berani untuk meletakkan sebarang sasaran.
"Tiada sebarang pingat emas yang disasarkan pada temasya dwi-tahun tersebut, kerana sasaran utama ialah pada Sukan Komanwel di India tahun depan," kata jurulatih, Zakaria Yusup (gambar).
|
|
Bagaimanapun katanya, jika berjaya meraih pingat emas, ia adalah satu bonus.
"Namun kami masih yakin atlet angkat berat negara mampu memberi kejutan untuk meraih pingat emas kerana persediaan kami lebih teratur berbanding dua tahun lalu.
"Atlet juga dilihat menjalani latihan dengan penuh bersemangat," katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.
Menurutnya lagi, bukan tidak mahu menyandarkan harapan untuk menggondol pingat emas, tetapi beliau lebih selesa berpendirian begitu kerana takut kata-katanya itu kelak boleh memakan diri sendiri.
|
|
"Kami lebih fokus kepada Sukan Komanwel tahun depan daripada Sukan SEA. Kami tidak sasarkan sebarang pingat, malahan atas kertas, pingat emas memang tidak ada setakat ini.
"Kami sudah tahu untuk sukan angkat berat meraih emas di Sukan SEA memang sukar, namun pingat lain mungkin boleh. Itulah realitinya. Memang susah nak dapat," katanya.
Mengulas pencapaian pada temasya Sukan SEA yang lalu, Zakaria memberitahu, sebanyak satu pingat perak dan dua pingat gangsa berjaya diraih oleh pasukannya.
Skuad angkat berat akan berlepas ke Laos pada 6 Disember depan dan cabaran disandarkan kepada sembilan atlet termasuk lima lelaki dan empat wanita.
Prospek pingat disandarkan kepada Amirul Hamizan Ibrahim yang akan beraksi dalam kategori 56 kilogram. KOSMO
No comments:
Post a Comment