Thursday, November 26, 2009

Mencari pukulan emas di Laos


SKUAD golf negara sudah bersedia untuk merealisasikan impian meraih pingat emas di Laos bulan depan.


SKUAD golf negara berada pada landasan terbaik untuk merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos bulan depan.

Prestasi empat pemain lelaki, Nicholas Fung Chee Yung, Gavin Kyle Green, Mohamad Iszaimi Ismail dan Mohamad Iylia Jamil serta tiga pemain wanita, Ainil Johani Abu Bakar, Kelly Tan Guet Chen dan Michelle Koh Lay Sia berada pada tahap yang sangat memuaskan.

Naib Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Mohd. Yaacob Mohd. Kassim yang merupakan pengurus skuad negara ke Sukan SEA berkata, pemain negara mampu melakukan kejutan dalam misi meraih emas.




Kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas acara golf ialah pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

"Prestasi tujuh pemain negara kini berada pada landasan terbaik. Kita yakin untuk mencipta kejutan dengan memenangi pingat emas acara berpasukan lelaki dan pingat perak atau gangsa acara berpasukan wanita.

"Selain itu, bagi acara individu, Nicholas, Gavin dan Iszaimi juga berupaya untuk meraih pingat emas manakala Iylia juga jika mendapat rentak pada hari permainan, mampu mencipta kejutan.

"Bagi kategori individu wanita pula, sasaran pingat kita disandarkan kepada Ainil yang meraih gangsa pada Sukan SEA 2007 di Korat dan Michelle yang kini belajar dan menjalani latihan di Amerika Syarikat," katanya kepada Kosmo! semalam.

Skuad golf negara ditemui pada sesi latihan di Saujana Golf & Country Club, Subang petang semalam yang dikendalikan ketua jurulatih, Duncan Moodie dan jurulatih lelaki, Faridil Atras. Jurulatih wanita, V. Gunalen pula berada di Lumut atas urusan kerja.

Namun Mohd. Yaacob menegaskan bahawa sesi latihan skuad negara ketika ini lebih menumpukan kepada aspek kecergasan kerana ia boleh menjadi penghalang kepada hasrat untuk membawa pulang pingat emas dari Laos nanti.

"Pemain-pemain ini kita telah bawa menyertai beberapa kejohanan seperti di Korea dan Thailand. Mereka ini cemerlang pada hari pertama dan kedua tetapi mula ketinggalan pada hari ketiga dan keempat.

"Masalah kecergasan ini yang perlu kita atasi segera dan sebab itulah selepas latihan setiap hari, mereka akan ke gimnasium pula untuk menjalani latihan kecergasan," jelasnya.

Mohd. Yaacob memberitahu, skuad golf negara akan terbang ke Vientiane pada 8 Disember depan dan berpeluang menguji lapangan Booyoung Golf Club selama dua hari (9 dan 10 Disember) sebelum acara tersebut berlangsung pada 11 hingga 14 Disember depan.

"Kami tidak tahu lagi bagaimana keadaan lapangan di sana. Tapi dikatakan ia mirip dengan lapangan di Royal Selangor Golf Club. Sebab itu kami berlatih di Royal Selangor untuk latihan layout dan Saujana untuk latihan green.

"Bagi kedua-dua acara lelaki dan wanita, saingan utama pastinya hadir daripada Thailand dan Filipina. Tapi kita yakin untuk mencipta kejutan jika prestasi pemain sepanjang pertandingan berlangsung berada pada tahap terbaik," ujar Mohd. Yaacob. KOSMO

No comments:

Post a Comment