SKUAD karate negara seakan-akan sudah tidak sabar mahu menggegar bumi Laos menjelang temasya Sukan SEA bulan depan.
Dengan mempertaruhkan 19 atlet, skuad karate pastinya menjadi harapan kontinjen Malaysia untuk membawa pulang seberapa banyak pingat emas dari Laos.
Bagi jurulatih negara, P. Arivalagan, beliau yakin anak-anak buahnya mampu mencapai kejayaan cemerlang pada temasya dwitahunan itu nanti.
|
|
"Pada Sukan SEA di Korat dua tahun lalu, kami berjaya meraih lapan pingat emas.
"Bagaimanapun, pada temasya di Laos nanti, kami sasarkan lima pingat emas sahaja dan bagi saya, sasaran itu tidak terlalu tinggi.
"Saya percaya, dengan kerja keras dan semangat yang ditunjukkan oleh kesemua atlet karate negara, kami mampu merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan," kata Arivalagan kepada Kosmo! kelmarin.
Arivalagan juga tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa apabila salah seorang prospek emasnya, Lim Yoke Wai mengalami kecederaan serius di bahagian lutut kanan.
Ekoran kecederaan tersebut, Yoke Wai telah diketepikan daripada skuad karate negara ke Laos.
"Saya memang kecewa kerana dia (Yoke Wai) tidak dapat beraksi di Laos nanti atas kecederaan yang dialaminya.
"Tetapi saya perlu yakin dengan atlet yang ada kerana mereka adalah harapan saya," katanya.
Untuk rekod, pada temasya 2007 di Korat, Yoke Wai berjaya meraih dua pingat emas dalam acara kumite lelaki terbuka dan kategori bawah 65 kilogram.
Pada temasya di Laos, Arivalagan menyandarkan harapan kepada R. Puvaneswaran, L. Kunasilan, Shaharudin Jamaludin, Mohd. Hatta Mahmut, G. Yamini dan Jamalliah Jamaludin untuk membawa pulang pingat emas.
"Selain itu, saya berharap ada atlet lain yang mampu mencipta kejutan seterusnya membolehkan skuad karate menambah pungutan emas," jelasnya.
Skuad karate akan berlepas ke Laos pada 8 Disember kerana acara karate hanya akan dilangsungkan dari 10 hingga 12 Disember. KOSMO
No comments:
Post a Comment