Tuesday, December 1, 2009

Beregu wanita negara optimis rampas emas

BEREGU wanita No. 1 negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yakin mampu merampas kembali pingat emas Sukan SEA yang dimenangi pada temasya di Manila empat tahun lepas, lapor RADIAH SAORI.

Pei Tty-Eei Hui mencipta sejarah tersendiri apabila meraih pingat emas pada Sukan SEA 2005 di Manila, sekali gus mengakhiri penantian selama 28 tahun dalam acara beregu wanita.

Begitupun, Pei Tty gagal untuk mempertahankan pingat emas pada temasya di Korat 2007 ketika bergandingan dengan Woon Khe Wei selepas Eei Hui terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Pei Tty berkata, dia dan Eei Hui kini mempunyai peluang untuk meraih pingat emas sekali lagi pada temasya di Laos.

"Saya percaya, kami tetap mempunyai peluang untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA tahun ini," kata Pei Tty.

"Saya telah kehilangan emas pada temasya di Korat dan sudah tentu saya ingin merampas kembali tahun ini.

"Begitupun, saya sedar, bukan mudah untuk melakukannya kerana pemain-pemain lain juga pasti mempunyai keinginan untuk meraih pingat yang sama."

Pei Tty juga sedar, dia berdepan risiko bermain dalam keletihan di Laos selepas beraksi pada Final Masters di Johor Bahru yang berakhir pada 6 Disember, hanya empat hari sebelum acara badminton Sukan SEA bermula.

Untuk rekod, Pei Tty-Eei Hui merupakan juara bertahan Final Masters yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan paling lumayan berjumlah AS$500,000 (RM1.7 juta).

"Sebelum Sukan SEA, saya akan beraksi pada Final Masters dan pada ketika ini, saya ingin memberi tumpuan 100 peratus pada kejohanan itu," tambah Pei Tty.

"Sejurus selepas berakhirnya Final Masters, barulah saya akan memberi tumpuan penuh pada Sukan SEA." KOSMO

No comments:

Post a Comment