Tuesday, December 1, 2009

Henjutan Anuar sandaran emas


ANUAR (depan) menjadi pertaruhan terbaik skuad lumba basikal negara untuk meraih pingat emas dalam acara lebuh raya pada temasya Sukan SEA di Laos bulan depan.


SUKAN SEA XXVI yang akan berlangsung di Laos bulan depan mungkin bukan menjadi temasya yang diidam-idamkan oleh skuad lumba basikal negara.

Apa tidaknya, tanpa acara trek yang tidak dipertandingkan pada temasya kali ini, hanya acara lebuh raya sahaja yang dilihat menjadi sandaran terbaik Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk menyumbang emas kepada kontinjen Malaysia.


AZIAN dianggap antara prospek yang mampu menghadirkan pingat buat kontinjen Malaysia di Laos nanti.


Selain lebuh raya, Malaysia juga mengambil bahagian dalam acara mountain bike pada temasya yang akan berlangsung di Vientiane pada 9 hingga 18 Disember itu.

Begitupun, harapan menggunung kali ini pastinya terletak di bahu jaguh pecut negara, Anuar Manan dalam misi menebus semula kilauan emas yang terlepas daripada genggamannya pada temasya di Korat dua tahun lepas.

Anuar sedar ke mana sahaja dia pergi, semua mata sudah pasti akan tertumpu kepadanya.




Statusnya sebagai pelumba sensasi di Asia juga semestinya membayangi kehebatan pelumba dari negara lain termasuk rakan sepasukannya sendiri.

Dengan melibatkan banyak laluan landai pada acara tersebut nanti, semuanya dilihat seperti memihak kepada Anuar yang memang terkenal dengan kekuatan kayuhannya yang bertenaga.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu seharusnya sedar bahawa bukan mudah untuk memenangi emas tanpa sebarang tentangan sengit daripada pelumba lain terutamanya pelumba dari Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Seteru utamanya, Samai Amari dijangka menjadi tembok penghalang kepada hajat Anuar menggenggam emas di bumi Laos nanti.

Pelumba Indonesia itu juga memiliki kelebihan tersendiri berdasarkan rekodnya ke atas Anuar.

Samai, 29, pernah menghancurkan harapan Malaysia memenangi emas pada temasya 2005 di Manila apabila persaingan kedua-dua pelumba sensasi ini ditentukan dalam acara kriterium.

Pada temasya 2007 di Korat pula, Anuar yang diletakkan selaku pelumba pilihan memenangi emas, sekali lagi kecundang di tangan pelumba Indonesia, namun kali ini Rian Ariehaan yang menjadi penghalangnya.

Dalam Kejohanan Le Tour de Langkawi Februari lepas, Samai juga berjaya membayangi kehebatan Anuar.

Bagaimanapun, Samai gagal merampas Jersi Hijau (Raja Pecut) daripada tangan pelumba negara itu pada Jelajah Malaysia dua bulan kemudian.

Kini jelas persaingan sengit kedua-dua pelumba sensasi ini sekali lagi bakal mewarnai acara lebuh raya pada temasya di Laos bulan depan.

Malah, tidak keterlaluan juga jika kita menganggap bahawa temasya dwitahunan di Vientiane ini adalah pertembungan untuk merebut gelaran sebagai jaguh pecut lumba basikal sebenar di Asia.

Bagi Anuar, pengalaman yang dikutipnya ketika mewakili pasukan benua dari Iran, Azad University pastinya mampu memberi sedikit kelebihan kepada keyakinan dan kemampuannya untuk merealisasikan harapan tinggi peminat basikal tempatan melihat negara memenangi emas di Laos.

"Pada dua temasya Sukan SEA lalu, apa yang saya boleh katakan ialah saya hanya kekurangan pengalaman dan agak mentah," kata Anuar.

"Namun kini saya rasa saya sudah banyak mendapat pengalaman dan pendedahan, terutamanya berlumba dengan pelumba lain dalam temasya sukan ini dan mengkaji kekuatan dan kelemahan pelumba negara lain.

"Malah, saya berharap pengalaman saya berkayuh buat pasukan Azad University mampu memberi sedikit kelebihan untuk mengatasi pelumba lain terutamanya Samai bagi menggenggam emas di Laos nanti," ujarnya lagi. KOSMO

No comments:

Post a Comment