|
|
Kesemua 14 penembak yang bakal menggalas cabaran di Laos akan beraksi di Bangkok untuk menguji sejauh mana tahap persediaan mereka selepas menjalani latihan fasa akhir di Langkawi sejak bulan puasa lalu.
Malah, Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) turut menyenaraikan 22 penembak remaja bagi bersaing dalam acara peringkat umur.
Menurut pengurus sukan (menembak) Majlis Sukan Negara (MSN), Lt. Emran Zakaria, SEASA ibarat Mini Sukan SEA kerana ia menghimpunkan sebahagian besar penembak yang akan beraksi di Laos nanti.
"Ia umpama gelanggang sebenar Sukan SEA, kebanyakan negara akan menurunkan penembak terbaik mereka yang akan beraksi di Laos untuk menguji kemampuan masing-masing, sambil mengintai keupayaan lawan.
"Kalau Malaysia menurunkan skuad Sukan SEA, negara lain seperti Thailand dan Vietnam juga berbuat begitu kerana itulah yang kebiasaannya. SEASA adalah kejohanan terakhir yang ada untuk menguji penembak,'' ujar Emran.
Kata Emran lagi, sekiranya pada kejohanan terakhir SEASA di Hanoi, tahun lalu Malaysia pulang bersama lima emas dan NSAM berharap untuk mengulangi pencapaian itu atau tidak mustahil memperbaikinya.
Kata Emran, kehadiran semula tiga penembak pistol negara, Bibiana Ng, Joseline Cheah serta Nur Masitah Badrin daripada penggantungan dua tahun akibat dadah mampu menghadirkan cabaran lebih mantap buat skuad negara.
Malah, pasukan negara juga akan diperkuatkan oleh penembak Olimpik, Mohd. Hasli Izwan Amir Hassan dalam acara 25m Rapid Fire Pistol.
"Secara peribadi, saya rasa empat pingat emas yang disasarkan di Sukan SEA hanya satu sasaran sederhana, kita sebenarnya boleh merangkul lebih baik daripada itu.
"Saya percaya, penembak yang dihimpunkan Malaysia kali ini adalah yang terbaik dan mampu melakar satu keputusan cemerlang di Laos tetapi kita tidak boleh terlalu yakin,'' katanya lagi.
Sejurus tamat cabaran SEASA, semua penembak akan beraksi pula pada Kejohanan Kebangsaan di Subang, 18-22 November ini sebelum kembali ke Langkawi.
Pada Sukan SEA 2007 di Korat, menembak membawa pulang dua pingat emas menerusi Nur Suryani Taibi dalam 25m Rapid Fire Pistol wanita, selain 50m rifle prone wanita.
Pada Temasya Laos, yang akan berlangsung 9-18 Disember, Malaysia akan merebut 20 daripada 30 pingat emas yang ditawarkan iaitu dengan bertanding dalam 10 daripada 17 acara.
No comments:
Post a Comment