Thursday, October 29, 2009

KBS Akur Sasaran Pingat Emas Kurang Di Laos


KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia tidak mensasarkan pungutan emas yang tinggi pada temasya Sukan SEA di Laos kerana banyak acara yang boleh menyumbang kepada negara tidak dipertandingkan, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.


"Laos tidak mempertandingkan acara yang menjadi lubuk emas bagi Malaysia seperti gimnastik, gimrama, tenpin boling, skuasy, terjun, ekuestrian, hoki lelaki dan wanita, boling padang, polo, pelayaran dan triathlon," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Dunia Belia Kesatuan Jaringan Antarabangsa-Global di sini pada Rabu.

Sebagai rekod, Malaysia telahpun kehilangan 32 pingat emas daripada acara yang digugurkan oleh Laos pada temasya sukan itu yang akan mempertandingkan 384 pingat emas menerusi 25 acara sukan termasuk sukan tradisional seperti renang sirip, timang bulu ayam dan muay thai.

Kontinjen negara hanya mensasarkan kutipan antara 30 hingga 35 pingat emas menerusi 21 acara sukan yang disertai.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara renang dan terjun, taekwondo, memanah, olahraga, badminton, snuker & billiard, tinju, berbasikal, bola sepak,golf,judo, karate, silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping-pong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wushu.

Ahmad Shabery berkata pada tahun depan atlet negara akan berdepan dengan kejohanan sukan yang lebih besar iaitu Kejohanan Sukan Komanwel di New Delhi, India (3-14 Okt 2010) dan Kejohanan Sukan Asia di Guangzhou, China (12-27 Nov 2010).

"Harapan dan sasaran yang lebih besar perlu diletakkan kepada Kejohanan Sukan Komanwel dan Kejohanan Sukan Asia pada tahun depan kerana lebih banyak acara yang dipertandingkan pada kedua-dua kejohanan tersebut," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery turut meluahkan rasa kecewanya dengan sikap segelintir akhbar tempatan yang kurang melaporkan berita sukan tempatan berbanding dengan laporan sukan luar negara.

"Ada diantara akhbar tempatan langsung tidak menyiarkan berita sukan tempatan dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ianya akan merosakkan pembangunan industri sukan negara," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment