Thursday, October 29, 2009

Kita tak sasar lebih - Shabery



MALAYSIA tidak mensasarkan pungutan emas yang tinggi pada temasya Sukan SEA di Laos kerana banyak acara yang menjadi kelebihan kepada negara tidak dipertandingkan.

Demikian tegas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek (gambar) semalam.

"Laos tidak mempertandingkan acara yang menjadi lubuk emas bagi Malaysia seperti gimnastik, gimrama, tenpin boling, skuasy, terjun, ekuestrian, hoki lelaki dan wanita, boling padang, polo, pelayaran dan triatlon," katanya kepada selepas merasmikan Persidangan Dunia Belia Kesatuan Jaringan Antarabangsa-Global di ibu negara semalam.

Untuk rekod, Malaysia telah pun kehilangan 32 pingat emas daripada acara yang digugurkan oleh Laos pada temasya sukan itu yang akan mempertandingkan 384 pingat emas menerusi 25 acara sukan termasuk sukan tradisional seperti renang sirip, timang bulu ayam dan muay thai.

Kontinjen negara hanya mensasarkan kutipan antara 30 hingga 35 pingat emas menerusi 21 acara sukan yang disertai.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara renang dan terjun, taekwondo, memanah, olahraga, badminton, snuker & billiard, tinju, lumba basikal, bola sepak, golf, judo, karate, silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping pong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wusyu.

Ahmad Shabery berkata, pada tahun depan atlet negara akan berdepan dengan kejohanan sukan yang lebih besar iaitu Sukan Komanwel di New Delhi, India (3 hingga 14 Oktober 2010) dan Sukan Asia di Guangzhou, China (12 hingga 27 November 2010).

"Harapan dan sasaran yang lebih besar perlu diletakkan pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun depan kerana lebih banyak acara yang dipertandingkan pada kedua-dua temasya tersebut," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery turut meluahkan rasa kecewanya dengan sikap segelintir akhbar tempatan yang kurang melaporkan berita sukan tempatan berbanding dengan laporan sukan luar negara.

"Ada akhbar tempatan langsung tidak menyiarkan berita sukan tempatan dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan merosakkan pembangunan industri sukan negara," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment