Wednesday, September 9, 2009

Rayuan ke Laos 13 Oktober


KUALA LUMPUR - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberikan tempoh sehingga 13 Oktober ini sebagai peluang terakhir untuk beberapa persatuan sukan kebangsaan mengemukakan rayuan berhubung penyertaan atlet dan pegawai ke Sukan SEA Laos, Disember ini.

Tempoh itu menurut Setiausaha MOM, Datuk Sieh Kok Chi, bertujuan mengelak beberapa persatuan yang cuba mengajukan rayuan lagi sehingga menjadikannya bertindan sekiranya Lembaga Eksekutif yang bersidang di Wisma MOM di sini, membuat keputusan mengenainya lebih awal, semalam.

"Mungkin ada lagi yang merayu kemasukan ke Sukan SEA sehingga menyulitkan proses pemilihan muktamad. Justeru kami lanjutkan tempoh itu sehingga 13 Oktober memandangkan setakat ini masih ada hampir 10 persatuan yang berbuat begitu," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kata Kok Chi, sehingga semalam, MOM menerima rayuan persatuan sukan yang cuba menambah atlet dan pegawai mahupun mengubah kategori penyertaan daripada A kepada B atau tidak layak menjadi layak ialah petanque, angkat berat, golf, badminton dan judo.

Kategori A membolehkan mereka yang ke temasya serantau dwi tahunan ke-25 itu dibiayai sepenuhnya oleh MOM sementara Kategori B menyerahkan tugas tersebut kepada persatuan sukan tetapi boleh dituntut balik sekiranya atlet mereka membawa pulang sekurang-kurangnya pingat perak.

"Petanque dan badminton meminta penambahan pegawai, judo mahu menamakan dua lagi atlet wanita di bawah Kategori B, angkat berat mahu mengubah Kategori B tiga atlet wanitanya, begitu juga dua pemain golf," katanya selepas mesyuarat yang dipengerusikan Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Kok Chi berkata, senarai penuh dan muktamad atlet dan pegawai ke Laos akan diserahkan kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Laos pada 26 Oktober ini iaitu lebih kurang dua bulan sebelum temasya berkenaan bakal berlangsung dari 9 hingga 18 Disember.

Beliau pada awal bulan ini, menyasarkan 40 pingat emas buat Malaysia antaranya menerusi olahraga, akuatik, memanah, karate, pencak silat, wusyu tetapi pasti tidak mampu menandingi pencapaian di Korat 2007 ekoran ketiadaan gimnastik, boling, skuasy, terjun, ekuestrian, hoki, boling padang, polo, pelayaran dan triatlon.

Kira-kira 600 atlet dan pegawai Malaysia bakal menyertai 20 daripada 25 jenis sukan di Laos iaitu angkat berat, wusyu, bola tampar, pingpong, petanque, pencak silat, bola sepak, olahraga, akuatik, memanah, badminton, biliard-snuker, tinju, berbasikal, golf, judo, karate dan menembak.

Kontinjen negara cuma tidak akan beraksi dalam gusti, sepak bulu ayam, renang sirip dan muay Thai iaitu antara sukan pelik yang hanya melibatkan penyertaan segelintir negara dan dipertandingkan semula selepas Vietnam memperkenalkannya pada 2003.

No comments:

Post a Comment