Wednesday, September 9, 2009

KOAM sasar 10 emas di Laos


KUALA LUMPUR - Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menyasarkan kutipan 10 pingat emas dalam acara olahraga Sukan SEA Laos, Disember ini.

Antara yang diramal menyumbang emas adalah Norasheela Khalid (400m, 400m lari berpagar), Roslinda Samsu (lompat bergalah), Yuan Yu Fang (jalan kaki), Tan Song Hwa (baling tukul besi), Lee Hup Wei (lompat tinggi) serta dua atlet jalan kaki lelaki, Teoh Boon Lim dan Mohd. Shahrulhaizy Abd. Rahman.

Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim berkata, 10 emas yang disasarkan itu adalah berdasarkan penilaian bahawa tiada atlet dari negara ASEAN yang lain yang mengatasi kemampuan atlet negara ketika ini.

''Setakat ini KOAM menyasarkan 10 emas di Laos nanti. Apa jua perubahan dalam sasaran perolehan pingat emas ini bergantung kepada peningkatan atlet negara ASEAN yang lain.

''Namun setakat ini belum ada mana-mana atlet dari negara ASEAN yang mampu mengatasi atlet kita dalam 10 acara yang telah kita tetapkan,'' katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Namun, kata Karim, sejauh mana atlet yang diharap menjelmakan pingat emas pada Sukan SEA tidak tergugat, akan diketahui dalam beberapa kejohanan dalam dan luar negara tidak lama lagi.

Menurut Karim, atlet negara akan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, Kejohanan Trek dan Padang Asia dan Terbuka Malaysia bulan depan.

''Pada Terbuka Malaysia, Thailand akan menghantar 25 atletnya yang akan bertanding pada Sukan SEA nanti.

''Di situ nanti kita akan lihat sama ada atlet yang kita sasarkan untuk memenangi emas sudah ada pencabar atau tidak.

''Jika mereka sudah ada pencabar, kita mungkin akan mengubah sasaran pingat emas, jika sebaliknya, kita akan mengekalkan sasaran yang kita tetapkan,'' katanya.

Tambah Karim, selain daripada acara yang disasarkan untuk perolehan emas, KOAM juga tidak meminggirkan acara lain yang masih belum melepasi had kelayakan Sukan SEA.

Dalam acara 110 lari berpagar umpamanya, kata Karim, Robani Hassan dijangka memberi tentangan kepada Rayzamshah Wan Sopian dalam saingan untuk layak ke Sukan SEA.

''KOAM juga berharap acara yang pernah menyumbang emas kepada kita seperti acara 4x400m di Korat dua tahun lalu juga melepasi kelayakan.

''Cuma agak menyedihkan kerana acara pecut terus menyepi namun kita harap dalam tempoh sebelum Sukan SEA akan ada atlet yang mampu mencatat masa yang baik,'' katanya.

Pada Sukan SEA Korat, Thailand dua tahun lalu, sasaran 10 emas KOAM tidak kesampaian apabila hanya tujuh emas berjaya dibawa pulang.

Mereka yang bergelar atlet emas ialah Yuan Yufang dan Teoh Boon Lim (jalan kaki), kuartet 4x400m lelaki, Rayzam Shah Wan Sofian (110 meter lari berpagar), Siti Shahidah Abdullah (lontar tukul besi wanita), Roslinda, Lee Hup Wei.

No comments:

Post a Comment