Tuesday, September 8, 2009

Sasaran jurulatih perlu lebih jelas: MSN

Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my

SATU perkara berharga dipelajari daripada kegagalan pada Kejohanan Badminton Dunia di Hyderabad, ialah tiadanya penekanan khusus terhadap sasaran perlu dicapai pemain, dengan ada ruang untuk 'kesamaran' dibenarkan menjelma.

Ada luahan betapa 'gelaran dunia' perlu dibawa pulang, tetapi program dan justifikasi yang teliti tidak ditekankan ketika barisan jurulatih masih sempat berselindung di sebalik kenyataan seperti 'layak ke separuh akhir atau akhir sudah memadai.'

Lantas, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah mencapai kata persetujuan untuk memulangkan tanggungjawab kepada barisan jurulatih supaya lebih jelas dan teliti dengan sasaran supaya apa yang berlaku kemudiannya, boleh dijustifikasikan mereka.

Semua itu akan diketengahkan dalam mesyuarat jawatankuasa bersama di antara MSN dan BAM yang akan dipengerusikan Pengarah Cawangan Elit MSN, Ariffin Ghani, esok.

"Memang MSN ada tekankan bahawa sudah tiba masa untuk jurulatih memberikan sasaran lebih spesifik, tidak lagi sekadar memberikan sasaran umum dalam sesuatu kejohanan. Dengan cara itu, program latihan dan khidmat bantuan boleh dikhusus untuk mencapainya," akui Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

Malah pendekatan itu juga kini jadi amalan BAM ketika badan induk itu menuntut perancangan lebih tersusun daripada barisan jurulatih demi memastikan pemain-pemain mereka mampu menyerlah pada sesuatu kejohanan utama yang ditetapkan.

Ia ditekankan kerana hakikat ketika ini ialah barisan pemain negara, di sebalik pelbagai gelaran dalam sirkit Siri Super Dunia, belum pernah mampu membawa pulang mahkota utama daripada kejohanan berprestij.

Malah jika diimbas, pencapaian mampu dibanggakan kali terakhir hadir pada 2006 menerusi pingat emas acara beregu lelaki Sukan Asia di Doha dan Seluruh England 2007 - menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong - ketika cabaran lain seperti Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik berakhir tanpa gelaran utama.

"Jika jurulatih menetapkan sesuatu kejohanan utama sebagai sasaran untuk pemain menjuarainya maka perancangan dan persiapan ke arah itu akan lebih mudah dilakukan. Malah, ia juga akan membolehkan medan persediaan terbaik dipilih tanpa membebankan pemain dengan terlalu banyak kejohanan," kata Kenny.

No comments:

Post a Comment