Thursday, September 10, 2009

KOAM tunggu jawapan MOM


MELINDA adalah pemegang rekod kebangsaan acara 3,000m lari berhalangan wanita.

KESATUAN Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) masih menanti jawapan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung cadangan persatuan itu yang mahukan acara 3,000 meter lari berhalangan wanita dipertandingkan pada Sukan SEA di Laos Disember ini, lapor MUSTAPA LAKAWA.

Malah timbalan presiden KOAM, Karim Ibrahim juga secara sinis mempertikaikan kewibawaan MOM yang masih berdiam diri tanpa sebarang respons terhadap surat rayuan yang mereka hantar sebelum ini.

"Saya tidak pasti apa keputusan MOM kerana surat telah dihantar kepada mereka pada 24 Julai lalu yang menyatakan permohonan kami agar acara 3,000m lari berhalangan wanita dipertandingkan di Sukan SEA," jelas Karim semalam.

"Begitupun, kami tidak pasti sama ada MOM ada membawa membawa usul ini ke peringkat jawatankuasa tertinggi Sukan SEA ataupun tidak.

"Kalau ada pun, dan cadangan itu ditolak, kami juga ingin tahu mengapa acara ini tidak boleh dipertandingkan."

Menurut Karim, acara 3,000m lari berhalangan wanita merupakan acara utama yang dipertandingkan dalam semua kejohanan utama termasuk Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan Olimpik dan juga Kejohanan Dunia.

"Namun, di peringkat Sukan SEA, acara ini tidak pernah dipertandingkan melainkan bagi kategori lelaki," tambahnya.

"Jadi, kami merasakan bahawa tiada alasan mengapa acara ini tidak dipertandingkan."

Karim juga menolak dakwaan yang mengatakan keputusan KOAM untuk mencadangkan acara itu adalah semata-mata untuk meraih pingat emas.

"Saya akui, Malaysia memang memiliki pelari dalam acara ini iaitu Melinda Kaur yang juga pemegang rekod kebangsaan.

"Namun, ia bukanlah motif utama mengapa kami mahu agar acara ini dipertandingkan, sebaliknya kami melihat bahawa acara ini adalah acara utama yang dipertandingkan pada semua kejohanan utama," ujarnya.

No comments:

Post a Comment