Friday, September 11, 2009

'Pandelela, Jun Hong berseteru'


Oleh Hasnira Hassan
niera@nstp.com.my

Kedua-dua atlit rebut tempat dalam dua acara 3m papan anjal Sukan Sea

DUA tahun lalu, aksi penerjun, Pandelela Rinong-Cheng Jun Hong sehati untuk menghadiahkan negara pingat emas acara platfom 10 meter platform di Sukan Sea Korat, tetapi kini, kedua-dua atlit itu seperti seteru yang merebut tempat dalam dua acara 3m papan anjal di Laos.

Di atas kertas, kelebihan tampak berpihak kepada Pandelela, 16, yang berpengalaman menyerlah dalam acara berkenaan pada dua kejohanan utama bulan lalu, bermula Mini Olimpik di Pusat Akuatik Nasional serta Kejohanan Peringkat Umur keenam di Tokyo, Jepun.

Sekalipun, baru didedahkan kepada acara 3m papan anjal, bermula awal tahun ini, namun, emas yang diraih Pandelela di Jepun mencabar hebat penerjun senior, Jun Hong - satu lagi pilihan mewakili negara ke temasya dwitahunan di Laos, Disember ini.

Walau pun lebih berpengalaman tetapi dia terpaksa direhatkan hampir tiga bulan sebelum ini kerana kecederaan pinggang.

"Saya memang meletak harapan tinggi terpilih dalam acara 3m papan anjal, tetapi saya tidak boleh tamak. Keputusan bergantung di tangan jurulatih, siapa yang dirasakan lebih berpotensi.

"Buat masa ini, keputusan pemilihan masih belum pasti kerana jurulatih turut memberi tumpuan acara terbabit kepada penerjun lain," kata anak buah Yang Zhu Liang itu.

Sehingga kini, hanya Leong Mun Yee terpilih dalam misi mempertahankan emas 3m papan anjal serentak di Korat, ketika gandingannya masih belum diputuskan selepas pengunduran Elizabeth Jimie, awal tahun ini.

Pandelela pula disahkan namanya bersaing dalam dua acara 10m platform individu selain bergandingan dengan Mun Yee dalam terjunan serentak, acara yang sama.

No comments:

Post a Comment