Friday, September 11, 2009

Haslisa tak kecil hati

Oleh Mohd Ali Majid
bhsukan@bharian.com.my

HASLISA Hamed tidak kecewa namanya tidak tersenarai dalam skuad menembak raifal wanita negara ke Sukan Sea 2009 di Laos, Disember ini seperti diumumkan, kelmarin.

Sebaliknya, penembak elit negara ini akan berusaha lebih gigih bagi memastikan namanya tidak tercicir lagi bagi mewakili negara ke Sukan Asia dan Komanwel 2010.

Haslisa, 22, yang membantu skuad negara meraih pingat emas berpasukan acara raifal prone di Korat 2007 dan layak ke Laos menerusi acara yang sama diketepikan kerana melebihi kuota lima penembak yang diperlukan.

“Pastinya saya kecewa kerana tidak disenaraikan tapi ini bukan penghujung kepada pembabitan saya dalam sukan menembak,’ kata penembak berasal dari Ipoh ini.

Katanya ketika ini dalam skuad negara dia sentiasa dibayangi oleh rakan sepasukan yang juga jaguh menembak negara seperti Nur Suryani Mohd Taibi, Shahera Rahim Raja dan Muslifah Ramli dari Angkatan Tentera.

Dua penembak lagi ialah penembak pelapis negara, Nur Ayuni Farhana Abd Halim dan Nur Ain Ibrahim dari Pahang seperti yang diumumkan oleh Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), kelmarin.

Bagi mengatasi mereka dia terpaksa bekerja keras dan berusaha lebih gigih dalam latihan harian bagi memperbaiki segala kelemahan dalam setiap kejohanan yang disertai selepas ini.

“Saya berazam akan berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan tidak tercicir lagi dan sekali gus menebus kehampaan dalam dua kejohanan yang menjadi sasaran saya iaitu Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan,’ katanya.

No comments:

Post a Comment