Friday, September 11, 2009

Separuh akhir sasaran Raja


Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my

Jurulatih Malaysia mahu anak buah bangkit di Sukan Sea Laos

SUNGGUH pun majikannya enggan meletakkan sasaran dalam masa terdekat ini, jurulatih K Rajagobal memiliki misi peribadi - iaitu membimbing anak didik mara ke separuh akhir acara bola sepak Sukan Sea Laos, Disember ini.

"Kalau ditanya, sasaran sebagai jurulatih, saya sedar sebagai bekas pemain, kita mempunyai sasaran, pemain mempunyai sasaran.

"Sasaran saya adalah layak ke separuh akhir. Setiap jurulatih mahu layak ke pusingan seterusnya, tetapi ia semua bergantung pada undian," katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan persahabatan menentang Lesotho di Wisma FAM, semalam.

Ketika diajukan sama ada ia adalah sasaran 'penakut', Rajagobal pantas mempertahankan dirinya dengan menyatakan ia bukan bermakna dirinya tidak berani mengambil risiko.

"Saya bukan penakut, kalau saya penakut takkan saya menurunkan pemain muda menentang Manchester United, Arab Saudi dan Jordan. Kami memerlukan sokongan positif daripada seluruh rakyat Malaysia dan kami akan melakukan yang terbaik," katanya.

Selepas keputusan membanggakan dalam kunjungan ke Asia Barat, baru-baru ini kalah tipis 1-2 kepada Arab Saudi, 0-1 kepada kelab Al-Qadisya di negara sama dan seri tanpa jaringan menentang Jordan, Rajagobal mahu meneruskan prestasi baik itu menentang Lesotho pasukan ranking ke-160 dunia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, malam ini (10 malam).

Walau pun terpaksa menerima hakikat pahit kehilangan tonggak sayap, Mohd Khyrill Muhymeen Zambri yang diketepikan buat tugasan Sukan Sea berikutan kecederaan lutut yang memaksanya berehat selama enam bulan, Rajagobal menerima khabar baik tiga tonggaknya Bunyamin Omar, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan sudah pulih daripada kecederaan yang dialami ketika kunjungan Asia Barat.

"Bunyamin, Safiq dan Aidil boleh beraksi. Masih ada masa sehingga Disember untuk melihat pemain yang sesuai untuk menggantikan 'Messi' (Khyrill Muhymeen)," katanya.

No comments:

Post a Comment