Friday, September 4, 2009

Laos medan uji watak atlit


Oleh Hasnira Hassan
niera@nstp.com.my

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) melaungkan amaran awal kepada setiap atlit negara bahawa cabaran yang bakal ditempuhi di kancah Sukan Sea 2009 pada 9 sehingga 18 Disember kali ini bukan sekadar di tengah gelanggang.

Laos yang memikul peranan selaku tuan rumah buat julung kali pada edisi ke-25 itu sudah pasti tidak dapat menyediakan segala kemudahan yang sempurna kerana kekurangan itu dianggap pasti akan berlaku nanti.

Namun, Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar memberi amaran supaya ia tidak dijadikan alasan, sebaliknya atlit negara perlu menyiapkan diri masing-masing untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita semua faham Laos menjadi tuan rumah buat pertama kali. Sudah pasti mereka tidak dapat menyediakan kemudahan lima bintang tetapi saya yakin, mereka akan berusaha menyediakan kemudahan terbaik. Kita harus yakin mereka mampu melakukannya.

“Perubahan termasuk sistem pemarkahan mungkin berlaku. Mereka perlu menyesuaikan diri kerana ia bukan saja dialami Malaysia tetapi juga atlit negara lain. Ini adalah cabaran dalam pertandingan,” katanya.

Sehingga Julai lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Laos, Dr Phouthong Seng Akom, yang juga Presiden Jawatankuasa Sukan Kebangsaan Laos dilaporkan bakal menguji stadium utama yang memuatkan 20,000 penonton serta gelanggang lain pada bulan ini ketika pembinaan lapang sasar bagi acara menembak dijangka lewat daripada jadual ditetapkan berikutan masalah teknikal.

Terdahulu, Tunku Imran mewakili MOM bagi menandatangani perjanjian penyertaan Kumpulan AmBank (AmBank) sebagai Kumpulan Perbankan Rasmi MOM selama empat tahun, sehingga 2012 yang membabitkan sumbangan tahunan daripada institusi kewangan terbabit sebanyak RM35,000.

Sementara itu, AmBank diwakili pengerusinya, Tan Sri Azman Hashim.

Perjanjian yang membabitkan tempoh kedua selepas kerjasama awal pada 2006-2008 membantu MOM mempromosi sukan dan pembangunan di Malaysia, selain penyertaan di saingan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment